Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRN: Muda umum 10 lagi calon termasuk peguam berusia 59 tahun
Diterbitkan:  Jul 22, 2023 5:44 PM
Dikemaskini: Jul 23, 2023 5:32 AM

Muda hari ini mengumumkan sekumpulan lagi calon bagi pilihan raya negeri (PRN) termasuk seorang peguam berusia 59 tahun, Lee Kim Noor, yang akan bertanding di kerusi DUN Batu Uban di Pulau Pinang.

Lee adalah salah seorang daripada 10 calon yang diumumkan parti itu hari ini.

Dia merupakan perunding pengurusan strata dan pernah menjadi ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

Penyandang DUN Batu Uban ialah Kumaresan Aramugam dari PKR.

Selain Lee, seorang lagi calon, Vikneswary Harikrishnan (Perai) juga akan bertanding di Pulau Pinang, manakala dua calon diletakkan di Negeri Sembilan dan baki enam calon akan bertanding di Selangor.

Dua calon yang dipertaruhkan di Negeri Sembilan ialah Ahmad Qusyairi Abdull Rahim (Temiang) dan Muhammad Noriswan Ishak (Repah).

Manakala calon di Selangor ialah Kalyana Rajasekaran Teagarajan (Bukit Gasing), Azad Akbar Khan (Kota Anggerik), Zayd Shaukat (Subang Jaya), Aida Nazeera Abd Rahman (Taman Templer), Abe Lim Hooi Sean (Bandar Utama) dan Noor Faralisa Redzuan (Pandan Indah).

Kesemua calon yang diumumkan Muda hari ini akan bertanding di kerusi yang dimenangi PH.

Vikneswary, 36, yang akan bertanding di Perai, merupakan anggota jawatankuasa eksekutif Muda Pulau Pinang.

Penyandang kerusi berkenaan ialah ADUN selama dua penggal dari DAP, Pramasamy Palanisamy.

Qusyairi, 34, yang bertanding di DUN Temiang merupakan anak jati Seremban dan Ketua Biro Mobilisasi Muda Negeri Sembilan.

Dia berhasrat memberi tumpuan kepada isu infrastruktur, kebajikan sosial dan pemerkasaan belia di Temiang dan Seremban.

Penyandang DUN Temiang ialah wakil rakyat dari DAP selama tiga penggal Ng Chin Tsai.

Di Repah, Iswan, 32, berikrar untuk menyampaikan suara rakyat.

Kempennya akan menumpukan usaha meningkatkan fasiliti kesihatan, menangani dan menyelesaikan isu tempatan serta meransang pembangunan ekonomi di daerah itu.

Penyandang kerusi yang ditandinginya ialah Adun selama tiga penggal, Veerapan Superamaniam daripada DAP.

Sementara itu, calon Muda di Bandar Utama, Abe Lim ialah ketua pegawai eksekutif firma kitar semula Purpose Plastics.

Berasal dari Ipoh, Perak, Abe yang berusia 27 tahun akan menumpukan kempen mengenai perubahan iklim, perancangan bandar pintar dan Bandar Utama yang menghijau untuk generasi akan datang.

Penyandang kerusi itu ialah Jamaliah Jamaluddin daripada DAP. Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Jamaliah memenangi kerusi itu dengan majoriti 34,769 undi.

Di Bukit Gasing, Kalyana, 44, adalah timbalan presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Kuala Lumpur dan Selangor.

Dia bukan sahaja berhasrat membawa perubahan positif kepada industri perniagaan di negara ini malah berhasrat membawa impak lebih besar kepada masyarakat yang mendorongnya menceburi dunia politik.

Adun selama dua penggal Rajiv Rishyakaran daripada DAP ialah penyandang kerusi DUN Bukit Gasing.

Azad, calon Muda di Kota Anggerik merupakan anak kelahiran Selangor.

Peguam berusia 35 tahun itu percaya ruang politik perlu diperluaskan bagi mengelak polarisasi rakyat Malaysia kepada dua kuasa yang bertentangan.

Penyandang kerusi DUN itu ialah Mohd Najwan Halimi dari PKR.

Calon Muda Subang Jaya, Zayd pula adalah setiausaha Muda Selangor.

Dia yang berusia 27 tahun itu antara lain mahu menawarkan penyelesaian dan rancangan untuk memberi tumpuan kepada isu seperti reformasi institusi, pilihan raya tempatan, gangguan bekalan air dan pengurusan sisa yang lebih sistematik.

Penyandang kerusi di DUN berkenaan ialah Michelle Ng Mei Sze dari DAP. Ng mengalahkan lawannya dengan majoriti 48,272 undi pada PRU14.

Manakala Aida, 30, merupakan calon Muda di Taman Templer.

Anak kelahiran Kuala Terengganu berusia 30 tahun itu kini merupakan timbalan ketua biro pelajar Muda Selangor.

Dia berhasrat untuk memberi tumpuan kepada isu-isu seperti infrastruktur, kebersihan alam sekitar dan pemerkasaan belia.

Penyandang kerusi itu ialah Mohd Sany Hamzan dari Amanah.

Calon Muda di Pandan Indah Noor Faralisa ialah naib presiden berusia 41 tahun di sebuah bank antarabangsa.

Ibu kepada lima anak itu memutuskan untuk memasuki arena politik pada 2021 kerana dia mahukan masa depan yang lebih baik untuk anak-anaknya.

Izham Hashim dari Amanah ialah penyandang kerusi di DUN itu.

Setakat ini, Muda telah mengumumkan 20 calon untuk bertanding di empat negeri – Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Lihat Komen
ADS