Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Anwar imamkan solat jenazah Salahuddin
Diterbitkan:  Jul 24, 2023 11:36 AM
Dikemaskini: 5:44 AM

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengimamkan solat jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Salahuddin Ayub.

Anwar mengimamkan solat jenazah sekitar jam 11 pagi di Masjid Jamek Dato' Hj Noh Gadot, Serkat, Pontian, Johor pagi ini.

Sebelum itu, suasana pilu menyelubungi ketika jemaah membacakan surah Yasin, tahlil dan doa arwah.

Mereka hadir membanjiri masjid bagi memberi penghormatan terakhir serta menunaikan solat jenazah.

Perdana menteri diiringi Menteri Besar Johor, Onn Hafiz dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu yang juga Presiden Amanah.

Turut kelihatan beberapa menteri kabinet, antaranya Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Menteri Pertahanan Mohamad Hasan menghadiri solat jenazah.

Beberapa pemimpin politik antaranya Pengerusi DAP Lim Guan Eng, Naib Pengerusi parti Amanah Dr Dzulkefly Ahmad, Senator Dr Mujahid Yusof Rawa dan Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Jenazah Adun Simpang Jeram itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat sebelum solat Zuhur.

Anwar yang tiba di masjid terlebih dulu duduk ditepi jenazah Allahyarham dan memanjatkan doa serta memberi kata-kata semangat kepada keluarga arwah sebelum menunaikan solat jenazah.

Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam tadi (Ahad) setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Anak kepada allahyarham, Fatihah Salahuddin memaklumkan pemergian bapanya yang juga Timbalan Presiden Amanah pada hantaran di media sosial.

"Dukacita dimaklumkan ketua keluarga kami, Salahuddin Ayub telah menghadap Ilahi pada pada 9.23 malam, 23 Julai 2023," katanya.

Ahli parlimen Pulai dua penggal itu (2018, 2022) telah dikejarkan ke hospital di Alor Setar pada Jumaat dan doktor mengesan dia mengalami pendarahan otak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS