Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas pemimpin MIC seru ahli parti itu sokong PN

Seorang bekas pemimpin MIC menyeru ahli-ahli parti itu supaya mengundi Perikatan Nasional (PN) pada enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

P Punithan berkata, ia susulan pengakuan Presiden MIC, SA Vigneswaran bahawa parti itu dan MCA telah diketepikan dalam soal rundingan kerusi.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Nasional Masyarakat India PN, P Punithan berkata, masyarakat India tidak boleh lagi tertipu dengan mengundi calon PH-BN.

"Saya nak minta secara terbuka semua ahli MIC untuk sokong PN. Presiden MIC berkata parti diketepikan dalam rundingan kerusi. Ini jelas menunjukkan jasa MIC dalam BN tidak diiktiraf dan dihargai apatah lagi PH.

"Saya menyeru ahli-ahli MIC berani menunjukkan bantahan secara besar-besaran dengan mengundi PN di dalam PRN akan datang," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Vigneswaran semalam berkata rundingan pembahagian kerusi antara BN-PH tidak pernah membincangkan pemberian kerusi kepada MCA dan MIC khususnya di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Katanya, selain itu Umno juga tidak bersungguh-sungguh ketika mengadakan rundingan kerusi bagi pihak MCA dan MIC.

Menurut Vigneswaran, ia merupakan sebab mengapa parti itu tidak bertanding dalam PRN yang dijadualkan 12 Ogos ini.

Punithan yang merupakan bekas Ketua Pemuda MIC Selangor mengumumkan keluar daripada parti itu Jun lalu.

Dalam surat letak jawatan yang diserahkan kepada pucuk pimpinan MIC, dia tidak memberi sebarang alasan keluar daripada parti itu.

Punithan merupakan pemimpin kedua MIC bertindak demikian, selepas bekas naib presidennnya C Sivarraajh yang mendakwa dirinya dilihat sebagai "ancaman" kepada kepimpinan sedia ada.

Selepas keluar daripada MIC, Punithan dilantik sebagai timbalan pengerusi Jawatankuasa Nasional Masyarakat India PN yang diketuai Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainuddin.

Beberapa sumber daripada PN sebelum ini memberitahu jawatankuasa khas itu akan ditukar menjadi parti politik baru bagi mewakili masyarakat India selepas selesai PRN dijalankan.

Sementara itu, Punithan juga meminta pengundi India menyokong calon PN dalam PRN ini.

"PN iktiraf kaum India secara keseluruhannya melalui penubuhan jawatankuasa ini dan saya menjadi Timbalan Pengerusi, banyak perkara dibincangkan untuk membantu dan mengarusperdanakan kaum India.

“Percayalah bahawa PN akan menjaga kebajikan kaum India dengan lebih baik. Jangan lakukan kesilapan lagi dengan mengundi calon PH-BN," katanya.

Lihat Komen
ADS