Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bandingkan Kelantan dengan Pahang, bukan Selangor - Mohd Amar
Diterbitkan:  Jul 24, 2023 2:03 PM
Dikemaskini: 6:03 AM

Mohd Amar Abdullah menyifatkan tidak adil untuk sesiapa membuat perbandingan pembangunan di Kelantan dengan negeri maju seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Sebaliknya tegas timbalan menteri besar sementara Kelantan itu, tahap pembangunan Kelantan sepatutnya dibandingkan dengan negeri lain seperti Negeri Sembilan dan Pahang.

Hal itu kerana, kata Mohd Amar, kedudukan Kelantan adalah berbeza "liga" berbanding Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

“Kalau diibaratkan kita bermain bola sepak; Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang ini bermain di liga lain, mereka macam ‘liga Super... negeri lain ada liga lain.

"Sepatutnya Kelantan ini dibandingkan - contohnya - Pahang dan Negeri Sembilan," katanya.

Membandingkan mana-mana negeri lain dengan negeri maju, kata Mohd Amar, akan menjadikan negeri terbabit semuanya etinggalan.

"Kita kena faham Kuala Lumpur adalah ibu negara, Selangor pula dekat dengan ibu negara, maakala Pulau Pinang sudah lama maju.

"Negeri itu sudah ada kemudahan infrastruktur termasuk pelabuhan, jalan raya yang baik dan lebuh raya," katanya dalam program diskusi Kelantan Maju 2028 yang disiarkan Facebook Kelantan TV malam tadi.

BN juga gagal

Naib presiden PAS itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan seorang pemimpin Amanah yang mengkritik tujuh kegagalan di tiga negeri yang ditadbir parti terbabit, khususnya Kelantan, yang ditawan mereka sejak 33 tahun lalu.

Terdahulu Malaysiakini menyiarkan ulasan penyandang ahli dewan undangan negeri Permatang Pasir, Faiz Fadzil mengenai tujuh kegagalan PAS.

Mohd Amar juga mendakwa kelewatan pembangunan di Kelantan bukan semasa ditadbir PAS saja, malah keadaan itu berlaku ketika negeri terbabit di bawah BN selama 12 tahun sebelumnya.

Justeru ujarnya sama ada negeri itu ketinggalan dari segi pembangunan atau tidak bukanlah disebabkan kerajaan yang memerintah.

"Ketika Umno menang di Kelantan selama 12 tahun sebelum ini (sebelum 1990), Kelantan tidak maju juga.

"Sepatutnya Umno memerintah selama 12 tahun Kelantan ini boleh kejar Selangor dan Pulau Pinang sebab kerajaan negeri selari dengan kerajaan persekutuan.

"Kita tengok Gua Musang, masa Umno memerintah 12 tahun setara mana majunya? Namun, hari ini daerah itu sudah ada kedai dan sebagainya kerana kita memerintah ini ada perancangan dan usaha.

"Jadi kita kena faham dan jangan komen jika tidak jelas dengan maksud dan takrif pembangunan dan tanggungjawab siapa," jelasnya.

Tambah Mohd Amar, Kelantan kini sudah ada pembangunan infrastruktur termasuk mempunyai jalan raya, hospital, gedung-gedung perniagaan dan sekolah, selain lebuh raya yang sedang dibina.

“Ada orang kata pembangunan kerajaan pusat buat dan memang betul hospital, sekolah serta sebagainya dalam tanggungjawab pusat.

"Kerajaan negeri dan pusat ini masing-masing ada tanggungjawab dan bidang kuasa. Yang ini kita kena jelas," kata Mohd Amar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS