Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mencadangkan exco sementara pelancongan, seni dan budaya Pulau Pinang Yeoh Soon Hin dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang yang baru.

Ini selepas Yeoh yang juga penyandang DUN Paya Terubong, digugurkan DAP daripada senarai calon yang akan bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang.

Loke ketika membuat pengumuman itu berkata Yeoh juga akan dicalonkan di kerusi parlimen pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Bercakap pada sidang media selepas pengumuman itu, Loke berkata cadangan mengenai pelantikan Yeoh memerlukan sedikit masa kerana proses itu perlu melalui Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Yang di-Pertuan Agong.

“Saya perlu melalui proses itu, untuk mencalonkan namanya (Yeoh) kepada perdana menteri dan kemudian untuk Agong memberi perkenan.

“Walaupun saya boleh mengesyorkan, ia mesti mendapat perkenan daripada Agong.

“Bagi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, ia sangat istimewa kerana jawatan ini mesti mendapat perkenan Agong. Jadi proses itu akan berlaku dan ia akan mengambil sedikit masa,” katanya kepada pemberita di Hotel JEN Penang Georgetown di Pulau Pinang.

Semalam ketika mengumumkan senarai calon DAP di Selangor, Loke turut mencadangkan supaya penyandang DUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang yang baru.

Ean juga digugurkan daripada bertanding dalam PRN kali ini.

Sementara itu, dalam sidang media hari ini, Loke menegaskan keperluan untuk “meremajakan” DAP dengan mengemukakan muka baru untuk bertanding dalam pilihan raya negeri.

Ini, jelasnya, bagi memastikan DAP kekal relevan dan dinamik dalam membawa perjuangan parti itu.

“Ini untuk membawa perubahan yang segar dan antara proses yang perlu dilakukan oleh semua parti politik. DAP tidak akan teragak-agak dalam proses itu.

“Pembaharuan ini akan dilakukan setiap kali pilihan raya, jadi itu proses biasa.

“Mungkin satu hari nanti, dalam satu atau dua pilihan raya akan datang, saya juga akan diganti. Parti diutamakan, tiada seorang pun pemimpin yang tidak boleh diganti,” katanya.