Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sudah membatalkan pendaftaran Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) dan ia berkuat kuasa pada Khamis lalu.

Menurut bekas setiausaha agung MTC, Noorzaleha Baharuddin, pembatalan itu dibuat selepas badan itu didapati melanggar Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).

"ROS mengeluarkan notis pembatalan berkuat kuasa 20 Julai. Harap maklum bahawa mana-mana individu yang menggunakan nama MTC, atau menyamar sebagai pegawai MTC, akan melanggar Akta 335," kata Noorzaleha dalam kenyataan malam tadi.

Bagaimanapun, dia tidak menyatakan kesalahan dilakukan MTC yang membawa kepada tindakan ROS tersebut.

Sementara itu Berita Harian melaporkan pembatalan itu mungkin ada kaitan dengan dakwaan pecah amanah dan rasuah melibatkan pertubuhan pelancongan tempatan yang membantu kerajaan memasarkan dan mempromosikan produk pelancongan domestik.

Noorzaleha Baharuddin

Pada 22 Okt tahun lalu Presiden MTC Uzaidi Udanis menamatkan keahlian Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata) tanpa memberikan alasan yang munasabah.

Pada 6 Jan pula, Setiausaha Agung Mata Izyan Dayana memfailkan aduan rasmi kepada ROS bagi meminta siasatan terperinci dibuat mengenai penamatan itu.

Susulan siasatan tersebut, ROS mengeluarkan notis di bawah Seksyen 31 (2) Akta Pertubuhan kepada MTC kerana sengaja melanggar perlembagaan dengan menamatkan keahlian Mata, yang dianggap sebagai menyalahi undang-undang dan tidak mengikut peraturan.

Selain itu, MTC juga didakwa melakukan tujuh kesalahan lain, termasuk mempunyai cek organisasi yang ditandatangani oleh individu tanpa kebenaran, yang kini menjadi subjek siasatan polis.

Harap ‘keadilan’ tertegak

Akhbar itu juga melaporkan MTC melantik setiausaha baru tanpa kelulusan lembaga dan membelanjakan lebih RM100,000 daripada wang majlis tanpa ia diluluskan dalam mesyuarat organisasi.

Sementara itu, MTC membidas Noorzaleha kerana didakwa menyebabkan pembatalan pendaftaran persatuan tersebut.

Dalam kenyataan hari ini, MTC berkata pihak terbabit "ada motif tersembunyi" walaupun terdapat komitmen yang tidak berbelah bahagi daripada exco dan pengurusan MTC dalam mematuhi garis panduan pendaftaran.

"Malangnya, dengan keputusan ini terbukti pihak tertentu yang berniat jahat mencari kepuasan dan kemenangan.

"Walaupun persatuan itu mematuhi perlembagaannya dan usahanya yang terpuji semasa pandemik, ‘elemen’ ini nampaknya meraikan apa yang dihadapi MTC.

"Untuk rekod, polis masih menyiasat salah urus dana MTC oleh Noorzaleha," katanya.

Ia juga menegaskan MTC bersungguh-sungguh menangani permintaan ROS melalui saluran rasmi, dan akan membuat rayuan kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengenai perkara itu.

"Kami harap diberi peluang untuk berjumpa dengan menteri dalam masa terdekat. Mesyuarat itu bertujuan membincangkan perkara itu secara meluas dan mencari penyelesaian yang adil untuk memelihara inti pati MTC dan peranan pentingnya dalam memajukan industri pelancongan Malaysia.

"Kami sangat yakin dalam menegakkan keadilan dan mempertahankan kesucian perlembagaan kami. Menjadi harapan kami kebenaran dan keadilan akan ditegakkan,” katanya.

[Baca berita asal]