Loke dicabar ketua kampung yang pernah digelarnya 'wira'
Pertandingan di DUN Chennah, Negeri Sembilan menyaksikan muka baru dalam PN, Rosmadi Arif bakal menentang penyandang kerusi berkenaan selama dua penggal Anthony Loke.
Loke memiliki profil di peringkat nasional sebagai menteri pengangkutan dan setiausaha agung DAP, manakala Rosmadi kurang dikenali.
Namun, apa yang pasti, Loke dan Rosmadi memiliki hubungan akrab dan saling mengenali antara satu sama lain.
Selepas banjir melanda pada Disember 2021, Loke melawat Kampung Chennah dan memberikan sumbangan peti sejuk dan jentera pembersihan kepada petugas banjir.
Kebetulan, Rosmadi merupakan ketua kampung di Kampung Chennah pada masa itu.
Dalam satu hantaran di media sosial,ketika itu, Loke memuji Rosmadi dan menggelarnya sebagai ‘wira’ kerana membantu menyelamatkan penduduk yang terkandas.
“Saya gelar beliau sebagai wira Kampung Chennah kerana telah menyelamatkan lebih 70 orang yang terkandas di perkampungan Orang Asli, Kampung Esok semasa banjir besar berlaku,” tulis Loke dua tahun lalu.
Chennah adalah salah satu daripada empat DUN yang terletak dalam sempadan di kawasan parlimen Jelebu. Pada PRU 2018, daripada empat kerusi itu, PH hanya memenenangi Chennah manakala empat lagi kerusi dimenangi BN.
Kawasan ini merupakan kawasan campuran- Melayu (46.28 peratus), Cina (44.26 peratus), India (2.05 peratus) dan lain-lain (7.42 peratus).
Data Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan bahawa semasa PRU November lalu, PN memenangi 14.92 peratus undi di Chennah, manakala selebihnya hampir setara antara BN dan PH.
Pencalonan Rosmadi diumumkan oleh timbalan presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu di Seremban, Negeri Sembilan malam ini.
Ahmad Faizal hanya mengumumkan 34 calon, manakala dua lagi calon di kerusi Jeram Padang dan Sri Tanjung tidak dinamakan.
Daripada 34 calon itu, 15 adalah daripada Bersatu dan 13 daripada PAS. Enam lagi calon adalah daripada Gerakan.
Calon paling menonjol ialah Eddin Syazlee Shith, yang akan bertanding di DUN Juasseh.
Eddin memenangi kerusi parlimen Kuala Pilah pada 2018 sebagai calon BN sebelum keluar daripada gabungan itu pada 2020. Dia gagal mempertahankan kerusi itu pada PRU November lalu.
Seorang lagi calon yang dikenali ramai ialah ahli exco Bersatu dan peguam Danni Rais, yang akan diletakkan di Klawang.
Dia adalah anak kepada bekas ahli parlimen Jelebu dan presiden Dewan Negara, Rais Yatim.
Sementara itu, ahli Bersatu, Ahmad Raihan Muhamad Hilal akan mencabar penyandang menteri besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun di Sikamat manakala Rozmal Malakan dari PAS pula akan mencabar bekas menteri besar, Mohamad Hassan di Rantau.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/aea5a01957161422b125969de3553651.jpg)
