'Lebih baik ada di saf belakang perjuangan berlandaskan Islam'
Bekas setiausaha agung Umno yang kini menjadi ahli PAS, Annuar, menegaskan menjadi calon dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini bukanlah matlamat perjuangannya.
Sebaliknya, bekas ahli Parlimen Ketereh itu memberitahu pemilihan calon bagi setiap pilihan raya adalah hak mutlak parti yang bertanding walaupun seseorang itu boleh "memasang hasrat" untuk dipertaruhkan.
“Menjadi calon bukan matlamat perjuangan saya. Memilih calon, hak parti. Kita boleh memasang hasrat.
“Jika dipilih, ia satu amanah. Jika tidak, ia bukan segalanya sehingga kita nak merajuk, apa lagi mengugut dan menggugat parti sendiri,” kata Annuar dalam hantaran di Facebook hari ini.
Annuar berkata demikian sebagai respon kepada sindiran Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi, kerana namanya tidak dicalonkan PAS pada PRN di Kelantan.
Puad mendakwa, tindakan PAS itu tentu mengundang sakit hati Annuar.
“Kesian Annuar Musa. Mungkin ramai yang terkejut apabila PAS tidak mencalonkan Annuar. Sebenarnya Annuar sahaja yang terkejut.
“Dia boleh bagi apa sahaja alasan. Hati tetap sakit. Tanpa kedudukan dia hilang platform untuk memusnahkan Umno. Cakap-cakapnya mungkin tidak lagi dipedulikan,” sindir Puad dalam hantaran di Facebooknya.
Tak sama macam Puad
Adun Rengit itu malah memerli Annuar agar tidak terkilan dengan tindakan PAS memandangkan dia kini sudah memiliki 'pahala' yang banyak kerana telah menjadi ahli 'parti Islam'.
Mengulas lanjut Annuar berkata Puad tidak perlu menyindir Islam atau parti yang berhasrat memperjuangkan Islam.
“Apa yang pasti adalah lebih baik berada di saf belakang perjuangan berlandaskan Islam dan muafakat berpaksikan Islam daripada menjadi hero dalam saf perjuangan yang menjulang mereka yang benci, atau menolak Islam serta mufarakah daripada muafakat orang Islam.
“Pegangan kita berbeza,” tegas Annuar yang juga pengerusi Muafakat Nasional (MN).
Tambah Annuar lagi, lazimnya dia memang jarang melayan Puad namun kali ini ada beri reaksi perlu diberikan tentang tulisannya yang dianggap “bersimpati” itu.
Pada masa sama Annuar berkata dia 'terkilan' apabila Puad didakwanya menggunakan nilai hidup untuk menyukat perasaan orang lain.

“Saya bukan Puad Zarkashi. Puad sewaktu berjawatan tinggi dalam parti dan kerajaan telah memberontak apabila namanya tidak dipilih menjadi calon dalam PRU.
"Beliau meletak jawatan dan mahu bertanding menentang calon parti sendiri. Malah ada tuduhan beliau sabotaj ketua wanita beliau yang telah dipilih jadi calon. Saya tidak begitu.
“Saya juga berbeza dengen Puad apabila sebagai ketua Umno bahagian, saya jaga anak buah saya sebaiknya walau ketika saya tiada apa-apa jawatan.
"Saya pimpin Umno Ketereh lebih 35 tahun, tidak pernah ditewaskan. Puad tewas jawatan ketua Umno Batu Pahat ketika dia masih menjadi ahli MKT, wakil rakyat dan speaker DUN Johor,” katanya.
Annuar juga menegaskan, dia dan Puad jelas berbeza dari segi nilai hidup dan politik.
Annuar sebelum ini disebut-sebut antara individu berpengaruh yang mungkin menjadi pertaruhan PN di Kelantan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/b0effb3958d8a465d788127d0929f370.jpg)
