Buku '13 Mei bakal menyeberangi Tambak Johor
Rakyat Singapura menunjukkan 'minat yang tinggi' terhadap buku tulisan pengarah Suaram, Dr Kua Kia Song, yang memuatkan maklumat terbaru mengenai rusuhan kaum 13 Mei, demikian menurut syarikat pengedar buku terkemuka di republik tersebut.
Rakyat Singapura menunjukkan 'minat yang tinggi' terhadap buku tulisan pengarah Suaram, Dr Kua Kia Song, yang memuatkan maklumat terbaru mengenai rusuhan kaum 13 Mei, demikian menurut syarikat pengedar buku terkemuka di republik tersebut.
Jurucakap Horizon Books , John Francis berkata, syarikatnya telah memesan 500 nashkah cetakan kedua buku itu yang bertajuk May 13 Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969 kerana cetakan pertama sebanyak 1,000 nashkah, telah habis dijual dua hari selepas pelancarannya.
Menurut Francis, rakyat Singapura mendapat tahu mengenai buku tersebut daripada media alternatif dan blog di Malaysia, sebelum ia dilaporkan oleh media perdana di kedua negara.
"Laporan mengenai rampasan buku tersebut atau kemungkinan buku itu diharamkan, telah membangkit minat yang tinggi di kalangan rakyat republik tersebut terhadapnya.
"Saya tidak rasa penjualan buku itu akan menghadapi sebarang masalah di Singapura," tambahnya.
Horizon Books, yang mempunyai pejabat di Kuala Lumpur, juga merupakan pengedar di Malaysia bagi buku Chin Peng: My Side of History dan buku Faces of Courage and Ousted!
Buku dirampas
Seorang ahli akademik Singapura memberitahu malaysiakini bahawa minat yang tinggi itu 'memang difahami' kerana kedua negara berjiran dan ramai rakyat republik itu mempunyai saudara mara di Malaysia.
Semalam, pegawai Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) merampas 10 nashkah buku tersebut dari kedai buku MPH di Kuala Lumpur.
Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan Dan Teks Al-Quran, Che Din Yusoh berkata, buku itu belum diharamkan tetapi melarang jualan.
Che Din berkata, bahagian itu akan mengkaji buku tersebut terlebih dahulu dan jika didapati ia mengancam ketenteraman dan keselamatan awam, pihaknya akan mengesyorkan ia diharamkan.
Buku itu merupakan kompilasi pelbagai laporan asing dan laporan sulit pada masa itu yang telah dideklafisikasikan baru-baru ini dan boleh didapati di Pejabat Rekod Awam di London.
Maklumat terbaru
Tindakan KDN itu dibuat mengikut AMCP yang memperuntukkan larangan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil pengeluaran yang memudaratkan kemoralan atau ketenteraman awam adalah dilarang secara mutlak di seluruh Malaysia.
Pada akhir tahun lalu, Dr Kua membuat kajian selama tiga bulan untuk meneliti rekod dan dokumen di Pejabat Rekod Awam di London mengenai tragedi 13 Mei yang telah dideklasifikasikan selepas luputnya tempoh 30 tahun dokumen berkenaan diklasifikasi sebagai rahsia.
'Versi rasmi' menyebut rusuhan tersebut berpunca daripada tindakan provokasi penyokong pembangkang yang didominasi kaum Cina, yang merayakan kejayaan mereka dalam pilihanraya umum yang menyaksikan Parti Perikatan kalah teruk.
Bagaimanapun, dalam bukunya itu, Dr Kua menegaskan bahawa peristiwa 13 Mei merupakan satu 'coup d'etat' atau rampasan kuasa terhadap Tunku oleh golongan kapitalis Melayu yang muncul ketika itu untuk merampas kuasa daripada aristokrat lama untuk melaksanakan agenda baru Melayu.
Hasil kajiannya ke atas dokumen yang dideklafisikasikan itu yang telah dikompilasikan dalam buku terbaru Dr Kua tersebut, dilancarkan Ahad ini.
Sementara itu, Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Fu Ah Kiow ketika menjawab soalan di Dewan Negara hari ini berkata, kementeriannya akan mengkaji kandungan buku tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya secepat mungkin.

