Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR yakin pengundi Hulu S'gor tak ulang 'kesilapan' PRU15

Timbalan Setiausaha Agung PKR Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata dia yakin pengundi kawasan parlimen Hulu Selangor tidak akan melakukan “kesilapan” PRU ke-15 dengan mengundi calon-calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada 12 Ogos ini.

Penyelaras Parlimen Hulu Selangor itu berkata situasi politik di Hulu Selangor telah berubah jika dibandingkan dengan PRU ke-15.

"Saya yakin pengundi di Hulu Selangor tidak akan mengulangi kesilapan yang sama seperti PRU ke-15.

"Keadaan ketika itu sangat berbeza. PN merupakan kerajaan pada ketika itu. Ramai pengundi khususnya Melayu yakin bahawa PN akan sekali lagi menubuhkan kerajaan pusat bersama BN selepas PRU ke-15. Maka, mereka tidak mahu ambil risiko.

"Tapi, sekarang kerajaan perpaduan telah mengambil alih kerajaan pusat.

"Pengundi yang mengundi PN pada PRU ke-15, kini mula beralih sokongan kepada gabungan PH-BN. Ramai pengundi yang mengundi PN sebelum ini, datang jumpa saya dan meminta maaf.

"Saya percaya gabungan PH-BN yang saya gelar sebagai ‘Barisan Harapan’ mampu sapu bersih ketiga-tiga DUN di kawasan parlimen Hulu Selangor," katanya kepada Malaysiakini.

Sathia merupakan calon PH parlimen Hulu Selangor pada PRU ke-15. Dia tewas kepada calon PN Hasnizan Harun dalam pertarungan enam penjuru.

Hasnizan menang dengan majoriti tipis 1,562 undi daripada jumlah 154,317 pengundi.

Hulu Selangor mempunyai tiga DUN iaitu Hulu Bernam, Kuala Kubu Baharu dan Batang Kali.

Pemimpin Amanah, Mohd Amran Mohd Sakir mewakili PH di Hulu Bernam dalam pertarungan satu lawan satu dicabar wakil PAS Mu'Izzuddeen Mahyuddin. Kerusi itu mempunyai 30,367 pengundi.

Di Kuala Kubu Bharu penyandangnya Lee Kee Hiong dari DAP dicabar oleh Teoh Kien Hong (Gerakan), Chng Boon Lai (PRM) dan Dr R Siva Prakash (Muda) dengan 40,015 pengundi.

Sementara DUN Batang Kali mempunyai 86,282 pengundi ditandingi calon Umno Mohd Isa Abu Kasim yang dicabar oleh pemimpin dari Bersatu Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani.

Ketika ditanya peluang PH-BN di ketiga-tiga DUN itu, Sathia yang juga ketua Cabang PKR Hulu Selangor berkata DUN Kuala Kubu Bharu “sudah pun berada di tangan”.

"DUN Kuala Kubu Bharu tidak ada masalah. Walaupun, ada pihak sengaja meletakkan calon untuk memecahkan undi, saya yakin pengundi tetap akan mengundi calon PH," katanya.

Namun, dia mengakui PH-BN akan menghadapi saingan di Hulu Bernam dan Batang Kali.

"Saingan memang ada di Hulu Bernam dan Batang Kali, tapi bukan saingan sengit seperti dijangka sebelum ini.

"Kita semua tahu di Batang Kali, parti Bersatu telah mengalami isu dalaman yang serius sehingga insiden terbaru di mana ahli Bersatu membakar bendera PNyang tular di sosial media.

"Bersatu di sini berpecah kepada tiga kumpulan iaitu ahli Bersatu asal, bekas ahli PKR, dan bekas ahli Umno. Semua cuba jadi dominan dan boikot satu sama lain," katanya.

Bagi DUN Hulu Bernam, Sathia berkata kerjasama BN-PH sudah mencukupi untuk menang kerusi tersebut.

"Umno memang kuat di Hulu Bernam. Mereka tak pernah kalah kerusi itu. Kalau, kita lihat pada PRU ke-15, jumlah undi diperolehi PN jika dibandingkan dengan PH dan BN tak banyak.

"Kerjasama antara BN dan PH sudah mencukupi di Hulu Bernam,” katanya.

Sathia juga berkata 'gelombang hijau' tidak begitu kuat di Hulu Selangor.

"Saya berasal dari sini. Sejak dulu pun PAS tidak begitu kuat di Hulu Selangor. Sebelum ini pun, pertarungan sebenar antara BN dan PH sahaja.

"Sekarang PH dan BN berada dalam gabungan yang sama. Lebih mudah untuk menawan tiga-tiga DUN pada PRN ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS