‘Doa supaya dibutakan mata lihat lambang parti lain keterlaluan’
Bekas Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman mengakui terkilan dengan doa seorang pemimpin PAS supaya 'dibutakan' mata daripada melihat lambang calon parti lain.
Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai keterlaluan, katanya, sepatutnya dalam apa keadaan sekalipun, pimpinan parti itu mendoakan perkara yang baik.
"Kita terkilan apabila seorang penyokong PAS memohon doa supaya dibutakan (mata untuk lihat) lambang parti lain," katanya yang dipetik portal Berita Harian Online.
Ahmad Razif mengulas sebuah video berdurasi 22 saat yang memaparkan doa seorang pemimpin PAS kemudiannya tular di laman sosial sejak Sabtu lalu dan mendapat reaksi kurang senang pelbagai pihak.
Video itu dirakamkan sebelum penyokong PAS berarak mengiringi calon parti itu, Khazan Che Mat ke pusat penamaan calon DUN Seberang Takir.
Dalam video berkenaan, pemimpin itu dirakamkan berdoa supaya 'dibutakan' mata untuk melihat lambang parti lain dan mengundi calon PAS. Doa itu kemudiannya turut diaminkan oleh Khazan.
PRN bagi merebut kerusi DUN Seberang Takir pada 12 Ogos ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Khazan dan Ahmad Razif. Pada PRU14 lalu, Ahmad Razif menang di kerusi berkenaan.
Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata sepatutnya semua pemimpin parti politik yang bertanding pada PRN mendoakan kesejahteraan rakyat dan minta dijauhi daripada sebarang bencana.
"Kita menggesa semua calon yang bertanding termasuk daripada BN dan PH bertanding secara sihat," katanya.
Ketika ditanya adakah BN akan membuat laporan kepada polis, Ahmad Razif berkata, pengundi akan membuat penilaian pada 12 Ogos ini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/02/032ea29621a4e62163f9eb015d77d18d.jpg)
