Pertarungan satu lawan satu di S'gor beri kelebihan pada PN - Roslan
Pemimpin Perikatan Nasional (PN) yakin pertarungan satu lawan satu akan memberi kelebihan kepada mereka berbanding Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri (PRN) di Selangor.
Menurut Setiausaha PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir, gabungan pembangkang mampu menang sekurang-kurangnya 29 kerusi DUN untuk meraih majoriti mudah bagi menubuhkan kerajaan negeri.
"Sebelum ini, pada PRU ke-15, kita lihat pertarungan tiga penjuru membuat undi Melayu pecah kepada tiga.
"Ini memberi kelebihan kepada PH (Pakatan Harapan) yang sebelum ini memiliki sokongan pengundi bukan Melayu.
"Kali ini, dengan satu lawan satu, kita berkeyakinan melepasi 29 majoriti mudah menubuhkan kerajaan pada 12 Ogos ini," katanya dalam sidang media di bilik gerakan utama PN, Shah Alam, Selangor.
Terdahulu, PN Selangor hari ini mengadakan majlis memperkenalkan latar belakang kesemua 56 calon PN bagi PRN Selangor.
Turut hadir, Setiausaha PN Selangor Afif Bahardin dan Setiausaha Bersatu Selangor Azman Yaakob.
Roslan menyorot pencapaian PN pada PRU ke-15 yang menyaksikan gabungan itu memenangi enam parlimen di Selangor.
"Daripada enam parlimen itu pun, kami sudah ada 14 kerusi Melayu. Selain itu, kami percaya ada peluang menang di DUN Kuala Kubu Bharu, Sekinchan.
"Ini pun kita sudah hampir separuh jalan. Lain-lain kerusi DUN kita jangkakan kawasan PAS dan Bersatu pernah menang dalam pilihan raya sebelum ini.
"Kita juga mendapat kajian dalaman terakhir bahawa kebangkitan atau gelombang undi orang Melayu. Kalau dulu sokongan Melayu terhad dari Kuala Langat sampai Sepang. Sekarang, boleh nampak di kawasan Lembah Klang
"Dengan keyakinan itu, kalau gelombang meningkat di Lembah Klang, jadi tidak mustahil kita mendapat 29 kerusi DUN,” katanya.
Roslan juga mendakwa bahawa pengundi India yang sebelum ini dilihat menjadi ‘deposit tetap’ kepada PH, kini sudah cenderung kepada PN.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/06/92b538dc4c36550576bdd37693f1598d.jpg)
