Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Presiden MIC, SA Vigneswaran menafikan dakwaan bahawa 20 bahagian parti itu di Selangor akan menyokong Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu.

Ini susulan dakwaan Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir bahawa pemimpin daripada 20 bahagian MIC Selangor telah mengadakan pertemuan dengan pimpinan PN bagi menyatakan sokongan terhadap gabungan itu.

"Tidak betul. Mustahil 20 MIC bahagian negeri Selangor berikrar sokong PN tanpa pengetahuan pucuk pimpinan.

"Mesej kepada ahli MIC daripada kepimpinannya adalah jelas iaitu menyokong calon BN sahaja," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Roslan mendakwa Timbalan Pengerusi PN Selangor, Yunus Hairi bertemu 20 pimpinan MIC seluruh Selangor dan mereka menyatakan akan memberi sokongan kepada calon-calon PN pada PRN ini.

Bercakap dalam sidang media di bilik gerakan utama PN di Shah Alam, Roslan berkata pemimpin daripada MCA Kapar dan beberapa tempat lain juga telah bertemu calon PN dan menyatakan sokongan.

Sebelum ini dilaporkan seramai 50 pemimpin MIC dari Selangor menyokong calon PN di negeri itu.

Bekas Adun Ijok, K Parthiban yang mengetuai kumpulan berkenaan mendakwa mereka beralih sokongan kepada PN setelah MIC tidak dilayan secara adil oleh BN dan PH, selain mendakwa gabungan itu mengabaikan nasib kaum India di negeri itu.

Parthiban turut muncul di pentas PN yang dihadiri Pengerusi PN Selangor, Azmin Ali di Tanjung Karang.

Dalam ucapan di majlis itu, Azmin berkata Parthiban dilantik mengetuai sekretariat Kelab Penyokong PN bagi kaum India dan bertanggungjawab bagi zon Selangor Utara.

Susulan itu, Parthiban yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (CWC) MIC digantung keahliannya berkuatkuasa serta-merta.

Sebelum ini beberapa sumber MIC memberitahu Malaysiakini terdapat kekeliruan dalam kalangan ahli dan penyokong MIC berhubung peranan mereka dalam PRN pada 12 Ogos ini.

Menurut sumber, keputusan rasmi MIC sebelum ini ialah menyokong PH di peringkat pusat tetapi tidak akan berkempen untuk calon gabungan berkenaan dalam PRN.

"Pendirian parti ialah hanya akan turun berkempen bagi calon BN sahaja. Maka untuk kawasan dewan undangan negeri yang tidak ditandingi BN, adakah ahli MIC bebas berkempen untuk calon pilihan mereka?" kata sumber berkenaan.

Seperti MCA, MIC sebelum ini membuat ketetapan untuk tidak meletakkan sebarang calon di mana-mana kerusi dalam PRN di enam negeri bulan depan.

Bagaimanapun kedua-dua parti itu memberikan komitmen untuk membantu kempen calon BN.

Tindakan dua parti komponen BN itu dibuat selepas mendapati mereka diketepikan daripada rundingan pembahagian kerusi antara BN dan PH.

Lihat Komen
ADS