Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Manifesto PH-BN di Selangor sasar bantuan untuk wanita, siswa
Diterbitkan:  Aug 1, 2023 12:11 AM
Dikemaskini: 4:24 PM

Pakatan Harapan (PH) dan BN Selangor hari ini mengemukakan manifesto mereka bagi pilihan raya negeri (PRN) di negeri itu dengan menawarkan beberapa program bantuan kewangan.

Antara tawaran yang diumumkan Pengerusi PH Selangor Amirudin Shari, termasuk insentif tahunan sebanyak RM1,000 untuk ibu bekerja dan bantuan RM1,500 kepada mahasiswa di negeri itu.

Menteri Besar sementara Selangor itu berkata menerusi 'Insentif Wanita Kita Selangor', sebanyak RM1,000 setahun akan diberikan kepada wanita bekerja bagi mengurangkan kos asuhan anak-anak mereka.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga akan mendaftar dan melatih pengasuh serta menyediakan fasiliti penjagaan kanak-kanak di pejabat kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Turut ditawarkan ialah insentif penyediaan fasiliti penjagaan di tempat kerja sektor swasta.

"Ini supaya dapat mengelakkan kes-kes penderaan dan kemalangan.

“Insentif ini untuk membiayai kos pengasuhan dan pendidikan anak-anak mereka, terutama di kala perlu hantar anak mereka (kepada pengasuh) dan mencari rezeki bagi keluarga tersayang,” katanya ketika melancarkan manifesto berjudul 'Tawaran Kita Selangor - 5 Tekad Untuk 5 Tahun' di Shah Alam.

Sebanyak 52 program ditawarkan dalam manifesto berkenaan di bawah lima kategori.

Selain pemberian sebanyak RM1,500 kepada mahasiswa, golongan itu juga akan menerima baucar buku bernilai RM200.

PH dan BN juga berjanji menaikkan secara berperingkat elaun bulanan ahli jawatankuasa masjid (imam, bilal, siak dan nazir), sekiranya mereka memenangi pilihan raya.

“Elaun imam dinaikkan kepada RM1,600, bilal dinaikkan kepada RM700, elaun Siak akan dinaikkan kepada RM500 dan elaun Nazir juga akan dinaikkan kepada RM500,” katanya.

Bagi penganut agama lain di Selangor seperti Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao, Amirudin berkata bantuan tahunan kepada penganut agama berkenaan akan dinaikkan sehingga RM10 juta setahun.

Selain itu subsidi tambang dan kos mengerjakan haji berjumlah RM2,000 akan diberikan kepada 3,000 Jemaah Muassasah kali pertama untuk menyempurnakan perjalanan ke Baitullah.

Harga rumah bawah RM250,000

Dalam ucapannya, Amirudin berkata kerajaan Perpaduan di negeri itu bercadang membina 200,000 unit kediaman dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Kediaman berkenaan katanya akan ditawarkan kepada rakyat Selangor dengan harga di bawah RM250,000 setiap unit.

“Kita juga mahu mewujudkan 10,000 unit Perumahan Penjawat Awam Kita Selangor khusus buat para penjawat awam Selangor,” katanya.

Manifesto itu turut menawarkan insentif RM1,000 kepada petani di Selangor bagi menampung perbelanjaan mereka termasuk membeli benih, baja dan racun serangga.

Amirudin berkata gabungan itu juga bercadang meluaskan bantuan kewangan negeri untuk penghantar makanan termasuk pemandu e-hailing.

Katanya, pada masa ini, warga emas di Selangor mendapat bantuan kewangan RM150 setiap tahun, dan waris akan menerima RM500 sekiranya mereka meninggal dunia.

“Insya-Allah penggal akan datang akan dikekalkan RM150. Kalau pendapatan (kerajaan negeri) baik, akan tambah RM200 tiap-tiap tahun wan wang khairat kematian ini kita akan tingkatkan kepada RM1,000 kepada waris yang meninggal dunia,” katanya.

Selain bantuan kewangan secara langsung, PH dan BN juga akan mewujudkan program 'Jajaran Kita Selangor'.

Kata Amirudin, ia akan merangkumi perkhidmatan rel baru yang menghubungkan Klang ke Kuala Selangor, Tanjong Karang dan Sabak Bernam; dan satu lagi laluan kereta api yang menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Tanjong Sepat dan Sungai Pelek.

Penggunaan bas mini dan van di bawah inisiatif Selangor Mobilitiy juga akan diperluaskan ke semua daerah bagi mengurangkan kebergantungan orang ramai kepada kereta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS