Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar jumpa presiden, pemimpin MIC seluruh negara
Diterbitkan:  Aug 1, 2023 11:44 AM
Dikemaskini: 5:47 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin MIC.

Adalah difahamkan pertemuan itu berkaitan dengan dakwaan rasa tidak puas hati dan perpecahan dalam parti komponen BN.

“Esok saya cakap dengan Presiden MIC SA Vigneswaran, saya nak jumpa kejap semua wakil ketua MIC seluruh negara.

“Supaya jangan mereka salah faham, mesti kerja satu pasukan,”katanya yang dipetik oleh FMT malam tadi ketika berucap dalam satu ceramah umum di DUN Jeram Padang, di Jempol, Negeri Sembilan, malam tadi.

Memo pertemuan itu bagaimanapun menyebut perjumpaan itu akan diadakan pada Rabu ini.

Portal itu sebelum ini memetik sumber yang mendakwa pertemuan itu bertujuan membincangkan berkaitan dengan dakwaan 'layanan buruk' Umno ketika rundingan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri.

Vigneswaran sebelum ini berkata, MIC dan MCA menarik diri daripada bertanding pada PRN 12 Ogos ini adalah kerana kedua-dua parti itu diketepikan dalam perbincangan rundingan kerusi antara BN - diketuai Umno - dan Pakatan Harapan.

Ini telah membawa kepada perpecahan dalam MIC, dengan beberapa pemimpinnya kemudian berpaling tadah kepada Perikatan Nasional (PN).

Pada ceramah malam tadi, Anwar bagaimanapun berusaha untuk meyakinkan pengundi India bahawa kerajaan gabungan PH-BN adalah pilihan terbaik mereka.

“Kamu tidak akan mendapat pasukan pemimpin adil seperti yang kita cuba buat sekarang. Kena ingat ini,” katanya.

Lihat Komen
ADS