Ketua PKR Pokok Sena mahu ambil tindakan undang-undang
Ketua bahagian Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pokok Sena, A J Gopal akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Setiausaha Agung PKR, Datuk Kamarul Baharin Abbas dan Pengerusi Perhubungan Kedah Johari Abdul kerana menggantung bahagian itu dan membatalkan jawatan beliau sebagai ketua bahagian tersebut.
Ketua bahagian Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pokok Sena, A J Gopal akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Setiausaha Agung PKR, Datuk Kamarul Baharin Abbas dan Pengerusi Perhubungan Kedah Johari Abdul kerana menggantung bahagian itu dan membatalkan jawatan beliau sebagai ketua bahagian tersebut.
Dalam mesyuaratnya pada 23 Mac lalu, Pokok Sena mencalonkan bekas Bendahari Agung PKR, Abdul Rahman Othman bertanding jawatan presiden dalam kongres nasional PKR di Seremban hujung bulan ini.
"Saya memberi tempoh sehingga Selasa ini untuk kedua-dua pemimpin itu memberi jawapan mengapa dinafikan hak saya sebagai ketua bahagian Pokok Sena, dengan alasan saya bukan ahli parti sedangkan saya menjadi ahli sejak 1999 lagi.
"Saya telah banyak berkorban, termasuk menghabiskan ribuan ringgit untuk PKR tetapi oleh kerana ada pemimpin berhati busuk, saya dinafikan hak jawatan ketua bahagian dan sebagai perwakilan ke kongres nasional parti di Seremban hujung bulan ini," katanya ketika menghubungi malaysiakini hari ini.
Gopal berkata, jika Kamarul dan Johari mengembalikan haknya sebagai ketua bahagian, PKR Pokok Sena dalam tempoh yang ditetapkan, beliau akan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, minggu depan.
Katanya, 1 Mei lalu, Johari menghantar surat kepada beliau memberitahu bahawa beliau bukan ahli PKR dan ahli yang menghadiri mesyuarat bahagian diragukan kesahihannya.
Pernah jadi perwakilan
"Berikutan itu, Badan Perhubungan PKR Kedah telah menggantung keahlian bahagian Pokok Sena," katanya.
Gopal berkata, alasan bahawa beliau bukan ahli PKR tidak benar kerana beliau telah menjadi perwakilan bahagian Pokok Sena dalam kongres nasional di Ipoh dan Pulau Pinang sebelum ini.
Katanya, sewaktu PKR ditubuhkan beliau menjadi ahli bahagian Alor Setar sebelum menubuhkan PKR Pokok Sena pada 2004.
"Saya menghantar surat kepada ibupejabat parti di Kuala Lumpur meminta penjelasan mengenai keahlian saya dan ahli bahagian Pokok Sena tetapi sehingga ini tidak menerima sebarang jawapan," katanya.
Menurutnya, amat menghairankan apabila Johari mendakwa beliau lebih tahu mengenai keahlian bahagian Pokok Sena walaupun sebelum ini beliau tidak pernah ambil peduli terhadap bahagian tersebut.

