Mohd Said dan Bung Mokhtar akhirnya minta maaf
Dua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Said Yusof dan Datuk Bung Mokhtar Radin hari ini memohon maaf kerana membuat kenyataan yang didakwa menghina wanita di Dewan Rakyat pada 9 Mei lalu.
Dua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Said Yusof dan Datuk Bung Mokhtar Radin hari ini memohon maaf kerana membuat kenyataan yang didakwa menghina wanita di Dewan Rakyat pada 9 Mei lalu.
Permohonan maaf itu dibuat selepas mereka mengadakan pertemuan selama kira-kira 45 minit dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Abdul Jalil pagi ini.
Kabinet
telah memberi mandat kepada Shahrizat mengambil tindakan susulan kerana
kenyataan mereka telah mencetuskan kemarahan di kalangan badan bukan kerajaan
(NGO) wanita.
Antara yang membantah keras kenyataan tersebut ialah Sister In Islam, Pertubuhan Bantuan Wanita, Persatuan Tindakan Wanita, Wanita MCA, Pas dan Parti Keadilan Rakyat yang mendesak supaya Mohd Said dan Bung Mokhtar memohon maaf secara terbuka.
Ahli Parlimen Jasin dan Kinabatangan itu didakwa mengeluarkan kenyataan yang menghina Ahli Parlimen DAP dari Batu Gajah, Fong Poh Kuan semasa perbahasan hangat tentang kebocoran di bangunan Parlimen.
Hina wanita
Kedua-dua didakwa menuturkan perkataan "Mana ada bocor? Batu Gajah pun bocor tiap-tiap bulan juga" yang disifatkan oleh pihak pembangkang sebagai menghina kaum wanita.
Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan tersebut, kedua-dua ahli Parlimen berkenaan berkata, mereka memohon maaf sekiranya kenyataan tersebut telah menyinggung kaum wanita.
Bagaimanapun, kedua-duanya mempertahankan kenyataan mereka itu sebagai perlu untuk mempertahankan kerajaan sewaktu perbahasan di Dewan Rakyat.
Ditanya sama ada mereka juga memohon maaf kepada Fong, Bung Mokhtar berkata mereka memohon kepada semua wanita.
"Kalau sudah minta maaf, maksudnya semualah," katanya.
Sementara itu, Shahrizat berkata tiada tindakan lain diperlukan kerana Mohd Said dan Bung Mokhtar sudahpun menjadi sasaran kritikan hebat pelbagai pihak.

