Enam wakil rakyat DAP memboikot persidangan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak petang semalam selepas berlaku pertikaman lidah dengan wakil Barisan Nasional (BN).

Ia bermula apabila Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa), membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang Dipertua Negeri, berkata "jangan kurang ajar" kepada Abdul Karim Rahman Hamzah (BN-Asajaya), yang mengingatkan beliau bahawa isu yang disentuhnya telah dijawab.

Sebelum itu, beliau diminta Speaker Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nassar supaya tidak membangkitkan semula isu Titanium Management Sdn Bhd, kerana katanya, sudah dijawab dalam persidangan yang lalu.

Namun, Chong yang mahu meneruskan perbahasan itu, memberitahu dewan bahawa ia isu baru, yang mendorong Abdul Karim berdiri, menyatakan isu itu sudah selesai, demikian menurut laporan Bernama.

Chong, yang masih mempunyai lima minit untuk berbahas, mahu meneruskannya tetapi dihentikan oleh speaker, kerana beliau masih belum menarik balik kenyataan itu.

"Kenapa saya perlu tarik balik? Boleh berikan alasannya," soal Chong.

'Beri amaran'

"Beliau hanya meminta anda berbuat demikian dengan baik," jawab Asfia, yang kemudiannya tiga kali memberi amaran kepada Chong untuk menariknya balik.

"Anda sila duduk. Jika tidak, saya arahkan anda keluar," katanya.

"Lebih baik begitu, anda buat peraturan yang ok bagi BN untuk menggunakan perkataan sedemikian. Ia tidak ok bagi kami (pembangkang)," Chong menjerit sebelum keluar dari dewan.

Richard Wong (DAP-Bukit Assek) berdiri dan berkata: "Datuk Speaker, peraturan ini berat sebelah" sebelum beliau dan wakil rakyat DAP yang lain keluar dewan pada 3.30 petang, sekaligus menamatkan pertikaman lidah itu.

Kemudiannya, enam wakil rakyat DAP sebulat suara memboikot baki dua jam lagi persidangan sesi petang itu.