Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pemimpin Perikatan Nasional (PN) memberi gambaran bahawa akan ada perkembangan terbaru berkaitan kes mahkamah dihadapi Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari mendakwa khabar angin mengenai perkembangan itu membabitkan kemungkinan kes dihadapi Ahmad Zahid digugurkan.

“Bunyi khabar esok (hari ini) ada satu perkembangan akan berlaku dalam kes melibatkan presiden Umno. Kita nak nyatakan malam ini sebelum ia berlaku esok (hari ini), kalau terjadi sungguh hebatlah tekaan kita.

“Kalau betullah pendakwaan terhadap Ahmad Zahid Hamidi digugurkan, ia akan menjadi paku yang terakhir di atas keranda Umno,” katanya ketika berucap di program ceramah isu-isu semasa sempena pilihan raya negeri (PRN) di Kok Lanas, Kota Bharu, di Kelantan malam tadi.

Turut hadir Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin, bekas Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa, calon PN bagi dewan undangan negeri (DUN) Kok Lanas Mohamed Farid Zawawi dan calon PN DUN Kadok Azami Mohd Nor.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur sebelum ini diberitahu bahawa representasi dikemukakan Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri untuk menggugurkan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) yang dihadapinya masih belum diputuskan.

Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC) Mohd Dusuki Mokhtar berkata AGC masih menunggu hasil siasatan lanjut daripada Pasukan Petugas Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung bukti baharu yang dikemukakan pihak pembelaan.

“Pasukan petugas khas sedang menjalankan siasatan. Tiada lagi keputusan mengenai siasatan tersebut,” katanya pada perbicaraan kes dihadapi Ahmad Zahid di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan).

Ahmad Zahid, 70, mengemukakan representasi melebihi 200 muka surat mengandungi isu kompleks yang dihantar kepada Peguam Negara Idrus Harun sebagai asas untuk pertimbangan agar pertuduhan dihadapinya digugurkan.

Sementara itu Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata pihaknya akan menanti perkembangan itu kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku dengan kerajaan diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim ini.

“Nanti kita tengok macam mana, tapi tak boleh kira dalam kerajaan PMX (Anwar) sekarang ini, macam-macam boleh berlaku.

“Dia boleh sebuat kata tak campur tangan dalam isu mahkamah, tak pernah campur isu pendakwaan. Inilah PMX, mesin basuh yang paling cepat berpusing, jenama baru jenama PMX, tapi mudah ‘koyak’,” katanya.

Lihat Komen
ADS