Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Ada ustaz kata makan kenduri Shaikh Hussein masuk neraka’
Diterbitkan:  Aug 2, 2023 12:51 PM
Dikemaskini: 10:25 AM

Calon BN yang bertanding bagi kerusi DUN Sungai Dua, Shaik Hussein Mydin mendakwa dia dimaklumkan oleh “orang kampung” bahawa ada seorang ustaz memberitahu mereka jika makan kenduri yang dianjurkan pihaknya, akan “masuk neraka”.

Sambil melahirkan rasa terkejutnya, katanya, dakwaan itu bukan dibuat di Kelantan tetapi di Sungai Dua, satu kawasan kecil dalam Pulau Pinang, tempat dia bertanding.

"Kenduri itu, saya tak masak pun. Orang kampung yang masak dan ini bukan berlaku di Kelantan pun tetapi ini di Pulau Pinang iaitu Sungai Dua (Tasek Gelugor).

"Bila ada ustaz kata siapa makan kenduri Datuk Shaikh akan masuk neraka, saya terkejut dan orang kampung juga marah," katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online.

Pemimpin Umno itu hadir pada Majlis Pelancaran Manifesto dan Pengenalan Calon-Calon Perpaduan di Butterworth, malam tadi.

Mengulas lanjut, Shaikh Hussein berkata, dia seterusnya memberitahu penduduk bahawa pihaknya akan menganjurkan majlis kenduri lebih besar dan menjemput semua penduduk sekitar untuk beraya.

"Lagipun anak muda sudah bosan dengan retorik Perikatan Nasional (PN) dan saya yakin kita boleh menang.

"Kita akan buktikan kerajaan perpaduan ini akan menerajui Malaysia untuk tempoh yang lama," katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini, Shaikh Hussen akan berdepan dengan calon PN yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS