Paling Popular
Terkini

Presiden Gerakan Dominic Lau menafikan dia telah dihalau dari ceramah PN di Sungai Dua, Pulau Pinang, malam tadi.

Lau mendakwa dia tidak berada di sana untuk menyampaikan ucapan pada ceramah itu tetapi untuk bertemu Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Dia berkata pengaturan telah dibuat untuk kedua-dua pemimpin itu mengadakan "perbincangan pendek mengenai strategi" PRN.

“Apabila beliau ada waktu, saya tiada kesempatan. Apabila saya ada waktu, beliau pula tidak ada kesempatan,” kata Lau, sambil menyatakan betapa jadual mereka yang padat telah menghalang mereka daripada bertemu lebih awal.

Lau berkata dia tiba di tapak majlis ceramah Sungai Dua selepas pukul sembilan, tetapi Hadi sampait lewat.

“Beliau (Hadi) tiba di tempat itu sekitar jam 10.30 malam. Kami tidak dapat berjumpa kerana dia terpaksa naik ke pentas.

“Saya baru pergi. Itu sahaja. Kerana objektif (mesyuarat) tidak dapat dicapai… Ini (cerita sebenar) keseluruhan kejadian,” jelasnya.

Bagaimanapun, Lau berkata dia sempat bercakap dengan Hadi melalui telefon selepas ceramah itu ketika presiden PAS itu menuju ke Alor Setar, Kedah, dan "berjaya menyelesaikan masalah yang timbul."

“Saya katakan bahawa isu ini telah selesai. Saya sebenarnya tidak mahu mengulas isu ini lagi.

“Kami perlu maju ke depan kerana kami hanya tinggal... berapa hari? Sepuluh hari? Kurang sepuluh hari (sebelum pengundian),” katanya kepada pemberita.

Pun begitu, Lau dipetik The Star mengakui Gerakan tidak dijemput menyertai majlis ceramah anjuran parti komponen PN itu.

Ceramah semalam yang diberi nama Mega PN Best itu turut menampilkan beberapa calon Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), termasuk Andrew Teow di DUN Sungai Puyu.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan semasa menantikan ketibaan Hadi, pemimpin Gerakan itu disambut oleh Naib Presiden PAS Idris Ahmad (gambar, atas) yang merupakan antara penceramah pada ceramah tersebut.

Bagaimanapun, ketika Idris hendak mengiringi Lau ke atas pentas Setiausaha PAS Pulau Pinang Iszuree Ibrahim menuju ke arahnya dan dengan tegas memberitahunya: "yang tidak diundang, sila tunggu sini."

Ada yang cuba membantah tetapi Iszuree membalas; "...tak boleh, kamu pergi!".

Idris kemudian diiringi ke atas pentas manakala Lau sekadar memandang, dan mengekalkan senyuman.

Sebelum ini, Iszuree disebut-sebut sebagai calon di DUN Bayan Lepas - kerusi yang bakal ditandingi oleh Lau.

Apabila, Hadi tiba kemudiannya, pembantu Lau, Wendy Subramaniam kedengaran meminta ahli Pemuda PAS yang mengiringi kereta presiden PAS itu untuk memberi laluan - bertujuan supaya Lau dapat berjumpa dengan Hadi.

Bagaimanapun, ahli Pemuda PAS menjawab: "Jangan bagi.”

Hadi kemudian diiringi terus ke atas pentas, meninggalkan Lau.

Tidak lama kemudian, presiden Gerakan dan rombongannya meninggalkan majlis berkenaan.

Keputusan Lau bertanding di DUN Bayan Lepas yang merupakan kerusi majoriti Melayu telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penyokong PAS Pulau Pinang.

Sebelum hari penamaan calon, ahli PAS Bayan Lepas telah mengugut untuk memboikotnya.

Lihat Komen
ADS