Peguam K Saraswathy telah mengemukakan beberapa dokumen kepada Badan Penceqah Rasuah (BPR) pada 2004 untuk membantu siasatan berhubung isu saham Maika Holdings.

Sewaktu perhimpunan agung MIC hujung minggu lalu, Presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu memberitahu para hadirin bahawa "seorang wanita telah menulis surat mengadu mengenai saya kepada BPR".

Samy yang juga Menteri Kerjaraya mengenalpasti orang itu sebagai seorang peguam di Kuala Lumpur tetapi tidak menyebut namanya.

"Bagaimana beliau tahu identiti saya?" Itulah yang dipersoalkan oleh Saraswathy sekarang.

Dalam sepucuk surat kepada Ketua Pengarah BPR yang baru, Datuk Ahmad Said Hamdan semalam, peguam itu meminta penjelasan bagaimana maklumat tersebut boleh bocor.

"Piagam pelanggan BPR menyatakan identiti mereka yang memberi maklumat akan dilindungi," katanya dalam surat tersebut. Salinan surat itu turut dihantar kepada malaysiakini.

"Badan itu juga mempunyai kod etika untuk merahsiakan perkara berkaitan dengannya," tambahnya.

Dalam suratnya itu, Saraswathy berkata, perbuatan yang melanggar janji-janji tersebut akan menjejaskan integriti BPR dan keyakinan rakyat terhadapnya.

"BPR bukan sahaja diamanahkan untuk membasmi rasuah, tetapi juga tanggungjawab untuk meyakinkan rakyat mengenai tekadnya untuk memerangi gejala itu.

"Tetapi mereka yang mendengar ucapan Samy Vellu (di perhimpunan agung MIC) di mana beliau mendedahkan maklumat yang sepatut sulit itu, akan menganggap BPR sebagai boneka kepada mereka yang berkuasa," katanya.

Kes belum tutup

Saraswathy juga bertanya kepada Ahmad Said mengenai status siasatan BPR terhadap peruntukan 10 juta saham Telekom kepada Maika Holdings - badan pelaburan MIC.

"Saya ingin tahu apakah Samy Vellu telah disoal ekoran banyak aduan yang dibuat terhadapnya," katanya.

Dalam suratnya itu, Saraswathy juga mendedahkan bahawa beliau telah mengemukakan maklumat secara lisan dan bertulis kepada ibupejabat BPR di Putrajaya dan Kuala Lumpur berhubung perkara tersebut.

Beliau juga mempertikaikan kenyataan Samy Vellu bahawa BPR telah membersihkannya daripada tuduhan tersebut.

Ketika dihubungi hari ini, Saraswathy berkata, presiden MIC itu mesti menjawab tuduhan-tuduhan yang dibuat terhadapnya.

"Beliau mesti menjawab aduan-aduan tersebut dan bukannya mensasarkan mereka yang membuat aduan. Beliau telah membuat contoh yang tidak baik kepada penggantinya," katanya.

Saraswathy juga menafikan telah menulis banyak surat kepada BPR berhubung isu Maika Holdings seperti yang didakwa oleh Samy Vellu,

"Walaupun beliau tidak menyebut nama saya (di perhimpunan MIC itu), tetapi beliau berkata saya adalah seorang peguam dari Kuala Lumpur dan orang tahu itu adalah saya.

"Ramai yang telah menghubungi saya dan menasihatkan saya supaya berhati-hati. Bagaimanapun, saya tidak menerima sebarang ancaman," kata peguam itu.

Presiden MIC itu telah menyatakan berulangkali bahawa kes terhadapnya telah ditutup. Ahmad Said tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komennya.