Tiga laporan polis dibuat berhubung dakwaan khianat terhadap bahan kempen di Terengganu, dedah polis.

Ketua Urus Setia Pilihan Raya Negeri (PRN) Polis Kontinjen Terengganu Asisten Komisioner Noor Halim Nordin berkata ia berkaitan perbuatan khianat terhadap papan iklan calon dan bendera parti.

Katanya, dua laporan polis dibuat di Kuala Terengganu dan satu di Marang.

Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat.

Pilihan raya kecil Kuala Terengganu diadakan serentak dengan pilihan raya enam negeri pada 12 Ogos depan.

Ia diadakan selepas kemenangan calon PAS Ahmad Amzad Hashim dalam pilihan raya umum lalu dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya kerana terdapat unsur rasuah. 

Semalam, media melaporkan gambar Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim di papan iklan besar disimbah cat merah.

Papan iklan itu turut memuatkan gambar calon Pakatan Harapan di situ iaitu Azan Ismail.

Sementara itu, Nor Halim juga dilaporkan berkata, polis meluluskan 65 permit untuk parti-parti bertanding meliputi Perikatan Nasional (PN), BN dan PH.

Dia juga berkata kempen semakin rancak dalam bentuk ceramah dan turun padang bertemu pengundi.

"Pihak polis akan terus memantau aktiviti kempen calon dan parti-parti bertanding dalam memastikan ketenteraman awam terus kekal harmoni," dia dipetik sebagai berkata.