‘Kalau undi kamu, tak boleh pakai pendek-pendek ke?’
"Jika saya undi kamu, tempat ini akan jadi macam Kedah, tak boleh pakai pendek-pendek?"
Begitu antara soalan yang dikemukakan oleh seorang wanita Cina kepada Andrew Teow, calon Perikatan Nasional (PN) di Sungai Puyu, Pulau Pinang.
Teow diajukan soalan itu ketika dia berkempen di sebuah pasar di Butterworth hari ini, lapor China Press.
Menjawab soalan itu, Teow berkata mereka tidak perlu bimbang tentang PAS.
"Kenyataan-kenyataan mengenai larangan perjudian dan kebebasan berpakaian adalah fitnah yang ditujukan kepada PAS oleh DAP,” kata Teow.
Menegaskan dia seorang penganut agama Buddha, Teow mengakui sering berdepan soalan itu oleh pengundi setempat tetapi sentiasa sabar memberi penjelasan
Teow, anggota Dewan Himpunan Penyokong PAS, adalah salah seorang daripada tiga calon Cina yang mewakili parti itu dalam pilihan raya negeri di Pulau Pinang.
Sementara itu, ditanya mengenai respons terhadapnya di setakat hari keenam kempen, Teow mendakwa boleh mendapat sokongan daripada masyarakat Cina sehingga 100 peratus.
Pemuda berusia 39 tahun itu pernah menjadi jurucakap Pemuda Gerakan sebelum menyertai serpihan PKR, Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Dia akhirnya memilih PAS.
Teow bertanding menentang calon Pakatan Harapan (PH) Phee Syn Tze, yang juga anak perempuan kepada bekas penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Puyu Phee Boon Poh.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/8365de20f6389b013496bc778d42d863.jpg)
