Penyandang kerusi DUN Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadiah Saad berkata rasa hormatnya kepada Zainol Abidin Mohamad tidak pernah terkikis meskipun dicabar oleh bekas gurunya yang bertanding atas tiket BN pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Bagi Halimaton atau lebih mesra dipanggil Kak Ton, tidak timbul isu dia menjadi anak murid yang derhaka, sebaliknya mendakwa ia hanya pertembungan politik dan bukannya perlawanan antara anak murid dan bekas guru.

"Saya hormati Cikgu Non sebagai bekas guru yang pernah mengajar saya, tetapi dalam politik menang atau kalah itu adat pertandingan.

"Ini pertembungan politik antara Kak Ton dan Cikgu Non, bukannya perlawanan antara anak murid dan bekas guru.

"Sepanjang mengenali Cikgu Non, beliau seorang yang baik...saya hormati beliau, tetapi mungkin dia masuk 'rumah' yang salah," katanya yang dipetik portal Berita Harian, hari ini.

Halimaton yang juga bekas exco Kedah ditemui ketika berkempen di Kampung Bukit di Changlun, hari ini.

Bagi PRN kali ini, dia dicabar oleh bekas gurunya Zainol Abidin yang juga Timbalan Ketua Bahagian Umno Kubang Pasu dalam saingan satu lawan satu di kerusi DUN Bukit Kayu Hitam.

Sebelum ini, Cikgu Non,65, dilaporkan berkata, dia yakin lebih 40 peratus bekas pelajarnya akan mengundi guru mereka.

Ini katanya, kerana kebanyakan bekas pelajarnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun menghubunginya sebelum ini dan memaklumkan akan mengundi dirinya kali ini, walaupun ada di antara mereka adalah penyokong Perikatan Nasional (PN).

Dia juga pernah mengajar Halimaton semasa berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun.