Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar berkempen di kubu Sanusi esok
Diterbitkan:  Aug 3, 2023 6:42 PM
Dikemaskini: 10:42 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan berkempen di Kedah esok.

Kedah - negeri yang beberapa kali menyaksikan pertukaran parti gabungan yang memegang kuasa - menjadi tumpuan dalam pilihan raya enam negeri, dengan gabungan Pakatan Harapan (PH)-BN berhasrat untuk merampas kerusi itu daripada Perikatan Nasional (PN).

Persinggahan pertama Anwar di Kedah ialah di Jeneri - kerusi DUN yang disandang menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Perseteruan Anwar dan Sanusi menjadi sorotan berita politik kebelakangan ini, dengan pemimpin PAS itu mendakwa menjadi sasaran dan ditindas pengerusi PH berkenaan.

Sanusi juga telah meniru gaya mengangkat tangan ikonik perdana menteri itu.

Di Jeneri, Anwar akan menghadiri karnival Felda di Felda Teloi Timur dan dijangka tiba pada awal petang.

Pada pilihan raya umum (PRU) ke-15, sebanyak 58 peratus pengundi Felda Teloi Timur mengundi untuk PN di peringkat parlimen, manakala 37.9 peratus mengundi BN dan 3.9 peratus mengundi PH.

Ia juga merupakan satu daripada empat daerah mengundi di mana pengundi tertua berpihak kepada BN-PH (72.5 peratus).

Selepas Jeneri, perdana menteri akan berada di Jitra untuk acara PH-BN.

Muhammad Sanusi Md Nor

Semasa PRU ke-15, PN mendapat sokongan daripada 59 peratus pengundi Jitra.

Kerusi itu kini disandang oleh Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir, yang tidak bertanding dalam pilihan raya.

Selepas Jitra, Anwar akan menuju ke Alor Setar untuk ceramah PH-BN.

Lokasi ceramah adalah di kerusi Alor Mengkudu di mana Pengerusi PH Kedah Mahfuz Omar bertanding, tetapi terdapat beberapa kerusi lain yang berdekatan, memberi peluang kepada Anwar untuk mendekati khalayak ramai di pelbagai kawasan.

Ceramah itu juga berjarak 15 minit pemanduan dari stadium bola sepak Darul Aman, tempat Sanusi dijangka menyertai perlawanan bola sepak malam esok.

Persinggahan terakhir Anwar di Kedah ialah ceramah PH-BN yang lebih besar di pasar malam Kupang.

Lokasi itu boleh diakses oleh pengundi dari beberapa kerusi iaitu Kupang, Kuala Ketil dan mereka yang tinggal berhampiran sebelah selatan Jeneri dan Belantek.

Kesemua kerusi ini telah mengundi 60 peratus dan ke atas untuk PN semasa PRU ke-15.

Lihat Komen
ADS