ULASAN | Kedah setakat ini: FYP masih didominasi Sanusi
Anak muda melayu masih cenderung menyokong Perikatan Nasional (PN). Ambil Tiktok sebagai contoh medium anak muda mendapatkan informasi politik, for you page (FYP) masih didominasi Sanusi Md Nor dan Perikatan Nasional (PN).
Beberapa kali saya terjah budak-budak muda tempatan. Pemandu Grab, pekerja bawahan dan pertengahan, budak-budak lepak di kedai makan, saya terkejut, mereka kata “Sanusi OK”.
Umno masih bergelut untuk menyatukan ahli agar menyokong Pakatan Harapan (PH) dan BN. Masih ada split di kalangan ahli-ahli Umno di bawah terkait isu dalaman khususnya berkaitan kepimpinan utama parti. Ini menjadi antara faktor sokongan asas BN boleh beralih undi kepada PN.
Jentera akar umbi Umno masih ada rasa berat hati atau serba salah untuk menerangkan naratif kepada pengundi Melayu berkaitan “mengapa perlu menyokong PH-BN”? Ini disebabkan kempen PN ke akar umbi yang konsisten memomokkan PH-BN dikuasai ‘Cina DAP’.
Dalam beberapa pertemuan bersama jentera Umno, mereka terdiam kelu apabila diterjah dengan soalan "Kenapa perlu undi PH-BN yang bersekongkol dengan DAP?" oleh pengundi Melayu.
Gelombang Anwar Ibrahim memang hebat, tetapi terlalu besar dan di awang-awangan. Bukan tidak bagus. Cuma berbanding pembawaan Sanusi, ia dilihat lebih santai ke akar umbi. Kita mungkin lihat Sanusi tiada idea-idea besar, tetapi beliau dirasakan 'ada' bersama pengundi di bawah. Messaging Anwar masih belum benar-benar touch to the ground.
Masih bermain di sekitar jelajah, ceramah besar, TV dan FB. Berbeza Sanusi dan PN, mereka menembusi platform Tiktok yang menjadi medium penetrasi paling pantas ketika ini. Video-video PN yang muncul di FYP menjadi 'candu' kepada pengundi tanpa mereka sedari. PAS dan PN menang dari aspek ini.
Isu-isu seperti unsur nadir bumi (REE), rasuah dan lawan sultan masih belum cukup 'menangkap' imaginasi pengundi untuk menolak Sanusi dan PN di Kedah. Rakyat Kedah tak terasa kebersamaan dalam isu tersebut sehingga mendesak perlunya mereka mengundi PH-BN.
Ini mungkin disebabkan strategi 'messaging' ke akar umbi yang masih belum cukup tersusun sehingga tepat kepada sasaran pengundi dan menjadi bahan perbualan.
Sanusi mungkin ada banyak isu. Tetapi Sanusi masih dirasakan oleh anak-anak Kedah khususnya orang muda dan luar bandar sebagai 'orang kita'. Sanusi bercakap seperti orang kebiasaan meskipun kita merasakan ia agak kasar.
Imej Sanusi dan isu-isu yang dihadapinya tidak cukup besar berbanding apa yang dilalui Najib Razak contohnya satu ketika dahulu (jika mahu dibuat perbandingan).
PH-BN tiada 'hero negeri' setanding Sanusi pada ketika ini yang dilihat menjadi hulubalang PN di Kedah. Ada serangan-serangan hendap keatas Sanusi dilakukan oleh Saifuddin Nasution sedangkan beliau tak bertanding DUN Kedah pada PRN ini.
Bahkan kedudukan Saifuddin yang memegang segala aparatus penguatkuasaan negara lebih mudah menimbulkan rasa simpati rakyat Kedah terhadap Sanusi tiap kali serangan dilancarkan. Ironinya, ibarat 'kuasa besar dari Pusat cuba menekan Sanusi' yang mewakili rakyat Kedah!
Perhitungan kasar corak sokongan pengundi Kedah sehingga hari ini:
1. PN mengekalkan sokongan sedia ada pada PRU15.
2. PN mendapat sokongan tambahan dari pengundi muda khususnya Melayu.
3. PN menarik sokongan yang terpecah dalam Umno kerana penolakan terhadap isu dalaman kepimpinan.
4. PN menarik sokongan pengundi tradisi BN yang tidak sanggup mengundi PH-BN kerana penolakan terhadap DAP.
5. PH berhadapan risiko peratusan keluar mengundi yang rendah dari bukan Melayu.
6. BN mengharapkan penyokong tegar PH mengundi mereka. Tetapi isunya, tidak banyak kawasan yang memiliki jumlah penyokong PH yang signifikan untuk memenangkan mereka.
AMIR HAMZAH DAMANHURI ialah penyokong Kerajaan Perpaduan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/7c48334d9862257530db5063801a0b15.jpg)
