Sampel yang diambil Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dari enam kilang berdekatan lokasi pencemaran bau di Kampung Sungai Tiram di Johor Bahru, tidak menunjukkan punca pencemaran Selasa lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri K. Raven Kumar berkata sehubungan itu, JAS Johor telah bertindak memperluas kawasan pemeriksaan kilang-kilang yang berada pada jarak satu kilometer dari lokasi kejadian bagi mengenal pasti punca pencemaran itu.

“Sebanyak enam kilang berdekatan lokasi kejadian telah diperiksa dan diambil sampel, tetapi ia tidak menunjukkan punca kepada pencemaran itu.

“JAS telah mula memperluas kawasan pemeriksaan di kesemua kilang dari satu kilometer lokasi kejadian dan seterusnya bagi mengenal pasti punca secepat mungkin,” katanya pada sidang media selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiram dan sebuah premis di kampung berkenaan di Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata kualiti udara serta sampel yang telah diambil dari sungai di kampung itu juga menunjukkan normal.

Sementara itu, Raven Kumar menjelaskan secara keseluruhan, sebanyak 39 orang mengalami gejala seperti pening dan muntah akibat pencemaran itu di kampung berkenaan pada Selasa lepas.

Beliau berkata 11 daripadanya merupakan penduduk kampung, 28 orang pula terdiri daripada 23 pelajar dari SK Sungai Tiram dan Sekolah Agama Sungai Tiram, serta dua guru, dua pekerja kantin dan seorang kerani dari sekolah kebangsaan berkenaan.

Pertambahan itu katanya, merupakan hasil tinjauan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Johor dari rumah ke rumah dalam lingkungan satu kilometer dari lokasi kejadian, bagi mengenal pasti sekiranya terdapat penduduk yang turut mengalami simptom sama pada hari kejadian.

Beliau pada masa sama turut menjelaskan keadaan kesihatan kesemua yang mengalami gejala berada dalam keadaan stabil dan tiada yang dimasukkan ke dalam wad.

- Bernama