Khairuddin juga pernah dihalang petugas PAS
Insiden Presiden Gerakan Dominic Lau diarah berlalu dari kawasan ceramah PAS di Tasek Gelugor pada 1 Ogos lalu membuat bekas menteri, Khairuddin Aman Razali terkenang peristiwa yang dialaminya sebelum ini.
Menurut bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu, dia membawa Setiausaha Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syeikh Dr Ali Qaradaghi, untuk bertemu dengan Abdul Hadi Awang di Masjid Rusila.
Bagaimanapun, kata Khairuddin, apabila tiba di situ hanya ulama terbabit saja dibenarkan menemui presiden PAS, sedangkan dia dihalang masuk.
Dalam hantarannya di media sosial hari ini Khairuddin juga menganggap insiden yang melibatkan PAS Pulau Pinang dan Lau boleh menjejaskan nama baik Islam.
Berikut adalah hantaran yang dimuat naik Khairuddin di media sosial pagi ini:
Akhlak bertamu dalam berpolitik
Saya membaca kenyataan media Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan meminta maaf berhubung insiden Presiden Gerakan Dominic Lau dihalang sepentas atau "dihalau" daripada menyertai ceramah mega bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Tasek Gelugor beberapa hari lalu.
Video insiden tersebut tersebar di media maya.
Ia adalah masalah dalaman PAS dan PN tetapi pada masa yang sama ia melibatkan adab dan akhlak dalam Islam yang dipamerkan oleh sebuah parti berjenama Islam.
Islam akan dipandang tidak berakhlak dan tidak beradab semasa menerima tetamu, apatah lagi tetamu tidak diundang itu adalah rakan kerjasama politik.
Hal itu kerana kemungkaran akhlak berkenaan dilakukan oleh parti yang membawa jenama parti Islam. Sedangkan Islam tidak diwakili oleh mana-mana parti pun.
Inilah bahayanya apabila parti politik dijenamakan dengan Islam tetapi gagal mempamerkan akhlak Islam.
Menariknya kemungkaran akhlak ini berlaku di hadapan mata Presiden PAS dan Naib Presiden PAS (Idris Ahmad) sendiri namun ia tidak dicegah terus oleh kedua-dua pimpinan tertinggi parti terbabit.

Insiden itu pula melibatkan rakan gabungan politik PN dan melibatkan pimpinan paling tinggi parti iaitu presiden parti rakan kerjasama politik mereka.
Naib Presiden PAS sendiri dijemput naik ke pentas di hadapan Lau. Dan di hadapan mata Idris sendiri berlaku insiden Lau dihalang oleh pimpinan PAS Pulau Pinang untuk ke pentas.
Ia memerlukan masa beberapa hari untuk Setiausaha Agung PAS mengeluarkan kenyataan meminta maaf kepada Lau dan menegur para pimpinan PAS di Pulau Pinang.
Tidakkah itu kelemahan dalam mencegah kemungkaran?
Saya sendiri pernah berhadapan situasi sebegitu semasa di Masjid Rusila selepas saya berhenti daripada PAS.
Setiausaha Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syeikh Dr Ali Qaradaghi, menjadi tetamu saya untuk program di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) dan beliau meminta saya mengiringinya ke Masjid Rusila untuk bertemu Presiden PAS.

Dia mengetahui saya telah berhenti PAS tetapi dia tetap meminta saya mengiringi beliau untuk hadir bersama dalam pertemuan ukhuwah di Masjid Rusila.
Beliau juga pergi dengan niat mahu menjadi penghubung dalam mengekalkan hubungan persaudaraan antara ahli politik Islam yang telah berbeza parti.
Saya sendiri memaklumkan selepas itu kepada salah seorang pegawai Presiden PAS saya akan hadir mengiringi Syeikh Ali ke Masjid Rusila.
Sebaik tiba di masjid saya dihalang dan tidak dijemput masuk oleh petugas ke pejabat Presiden PAS. Hanya Syeikh Ali dibenarkan masuk.
Saya tiada masalah kerana memahami situasi yang saya telah berhenti daripada PAS.

Tetapi hampir sahaja Syeikh Ali membatalkan pertemuan berkenaan kerana berasa terhina dirinya apabila saya sebagai pengiring tetamu dihalang masuk.
Tetapi saya menegaskan bahawa Syeikh Ali perlu meneruskan pertemuan tersebut dan saya kekal menanti di hadapan masjid berkenaan sementara pertemuan berlangsung.
Pertemuan di antara Syeikh Ali dan Presiden PAS setelah itu berlangsung ringkas sahaja.
Itulah akhlak dalam bertamu melibatkan orang yang telah berbeza parti politik yang ditunjukkan oleh parti berjenama Islam.
Pamerkan politik dan akhlak Islam dalam berpolitik apatah lagi apabila membawa nama Islam agar Islam tidak terfitnah.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/652cf4c7d2fb25c1626da63251229515.jpg)
