Buku 13 Mei: Anwar gesa kjaan bersikap terbuka dan telus
Kerajaan sepatutnya menyanggah secara terbuka dan telus jika ia tidak bersetuju dengan isu-isu yang dibangkitkan dalam buku May 13 Declassified Documents on the Racial Riots of 1969 walaupun ia mungkin mengundang kontroversi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kerajaan sepatutnya menyanggah secara terbuka dan telus jika ia tidak bersetuju dengan isu-isu yang dibangkitkan dalam buku May 13 Declassified Documents on the Racial Riots of 1969 walaupun ia mungkin mengundang kontroversi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebaliknya, kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu, tindakan mengharamkan buku tersebut akan memperkukuhkan lagi tesis bahawa rusuhan 13 Mei sememangnya disebabkan oleh rampasan kuasa yang dirancang pimpinan tertentu untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga menegaskan cadangan pengharaman buku tulisan Pengarah Suaram, Dr Kua Kia Song itu, mencabul kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Di dalam era di mana maklumat tersebar secara bebas, dan kebebasan Perlembagaan mesti dihormati dan bukan dicabuli.
"Undang-undang dan peraturan yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk menyekat penerbitan mestilah digunakan hanya dalam keadaan-keadaan yang cukup luar biasa," kata Anwar dalam satu kenyataan hari ini.
"Sebagaimana isu-isu berkaitan agama, kerajaan tidak boleh menggunakan tindakan keras untuk menutup perbincangan awam secara berterusan.
"Ini tidak termasuk hakikat bahawa menyekat buku tersebut akan secara langsung meningkatkan nilainya dan menaikkan keinginan pembaca," katanya.
Tiada jawapan muktamad
Secara peribadi, katanya, beliau menganggap buku ini sebagai proses untuk memberi penjelasan kepada rusuhan perkauman 13 Mei yang selepas hampir empat dekad terus dibincangkan secara senyap memandangkan tiada jawapan muktamad yang diberi oleh pihak berkuasa.
"Sememangnya akan wujud perbezaan pendapat berkenaan kejadian tragis dalam sejarah kita dan saya menyeru rakyat Malaysia untuk mempunyai pemikiran terbuka di dalam perbincangan ini dan terus menghormati sensitiviti semua kaum," katanya.
Selasa lalu, Pegawai Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) merampas 10 nashkah buku tersebut dari kedai buku MPH di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan Dan Teks Al-Quran, Che Din Yusoh dilaporkan berkata, buku itu belum diharamkan tetapi melarang jualan.
Che Din berkata, bahagian itu akan mengkaji buku tersebut terlebih dahulu dan jika didapati ia mengancam ketenteraman dan keselamatan awam, pihaknya akan mengesyorkan ia diharamkan.
Buku itu merupakan kompilasi pelbagai laporan asing dan laporan sulit pada masa itu yang telah dideklafisikasikan baru-baru ini dan boleh didapati di Pejabat Rekod Awam di London.
Maklumat terbaru
Tindakan KDN itu dibuat mengikut AMCP yang memperuntukkan larangan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil pengeluaran yang memudaratkan kemoralan atau ketenteraman awam adalah dilarang secara mutlak di seluruh Malaysia.
Pada akhir tahun lalu, Dr Kua membuat kajian selama tiga bulan untuk meneliti rekod dan dokumen di Pejabat Rekod Awam di London mengenai tragedi 13 Mei yang telah dideklasifikasikan selepas luputnya tempoh 30 tahun dokumen berkenaan diklasifikasi sebagai rahsia.
'Versi rasmi' menyebut rusuhan tersebut berpunca daripada tindakan provokasi penyokong pembangkang yang didominasi kaum Cina, yang merayakan kejayaan mereka dalam pilihanraya umum yang menyaksikan Parti Perikatan kalah teruk.
Bagaimanapun, dalam bukunya itu, Dr Kua menegaskan bahawa peristiwa 13 Mei merupakan satu 'coup d'etat' atau rampasan kuasa terhadap Tunku oleh golongan kapitalis Melayu yang muncul ketika itu untuk merampas kuasa daripada aristokrat lama untuk melaksanakan agenda baru Melayu.
Hasil kajiannya ke atas dokumen yang dideklafisikasikan itu yang telah dikompilasikan dalam buku terbaru Dr Kua tersebut, dilancarkan Ahad ini.

