Ketua Pemuda PH, Kelvin Yii, menyahut cabaran debat daripada Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ia susulan rakan dalam gabungannya dari PKR menolak pelawaan ahli parlimen Muar tersebut.

Dalam beberapa ciapan di Twitter, Yii berkata, dia baru dimaklumkan tentang cabaran Syed Saddiq melalui media sosial kerana dia sedang menumpukan perjalanan kempen bagi pilihan raya negeri (PRN).

“Topik perbahasan (isu berkaitan belia) adalah topik yang sangat penting dan bukan sahaja dekat di hati saya, tetapi yang lebih utama, penting kepada agenda kerajaan perpaduan yang mengutamakan isu penting kepada belia termasuk pekerjaan bernilai tinggi, pendidikan berkualiti, perumahan mampu milik, perlindungan alam sekitar, peralihan tenaga dan banyak lagi.

“Dan dengan semangat itu, saya sebagai Ketua Pemuda PH menyahut cabaran untuk kita berdebat mengenai semua perkara ini, pada masa dan syarat yang dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat,” katanya.

Ahli Parlimen Bandar Kuching itu juga memaklumkan mengenai tugasannya untuk minggu mendatang, termasuk mewakili kerajaan pada perhimpunan peringkat Asean di Jakarta, Indonesia.

Namun, setelah pulang ke tanah air, Yii berkata, dia bersedia mengatur masa yang sesuai untuk debat itu.

“Saya menantikannya dan jom kita adakan perdebatan yang sihat yang hanya memberikan tumpuan kepada kepentingan anak muda dan kepentingan yang membawa kestabilan, dan kemakmuran bersama kepada semua di negara kita yang tercinta," ciapnya.

Semalam, Ketua Pemuda PKR Adam Adli Abdul Halim menolak pelawaan debat Syed Saddiq dan mencadangkan calon baru yang terlibat dalam PRN diberi platform sebagai ganti.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari - yang turut dijemput Syed Saddiq untuk debat - turut bersetuju dengan idea itu.

“Saya tiada masalah untuk menyambut baik cadangan ini.

"Buat masa sekarang, saya sedang berhubung dengan pihak Syed Saddiq untuk menentukan masa dan tarikh yang boleh dipersetujui bersama.

“Perdebatan adalah budaya yang sihat dalam masyarakat kita. Bagi saya, tiada masalah dan bila-bila masa sahaja perbincangan (debat) ini boleh dilakukan. Bukan hanya dalam tempoh PRN sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.