Komunite Seni Jalan Telawi (KSJT) membantah tindakan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) untuk merampas buku `May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969' tulisan pengarah Suaram, Dr Kua Kia Soong.

Dalam satu kenyataan semalam, KSJT menyifatkan tindakan seumpama itu 'sudah ketinggalan zaman'.

Tambahnya, ia bukan sahaja tidak demokratik, tetapi juga "tidak beradab" dalam kehidupan masyarakat yang terbuka dan menghargai perbezaan zaman.

Baru-baru ini, KKDN merampas buku tersebut untukmengkaji kandungannya dan jika kementerian itu mendapati ia boleh mengugat ketenteraman dan keselamatan awam, pihaknya akan mengesyorkan ia diharamkan.

Menurut KSJT lagi, walaupun topik rusuhan kaum 13 Mei sering dianggap sebagai isu sensitif tetapi ia tidak wajar ditutup daripada dibincangkan secara terbuka.

Sementara itu, jurucakap KSJT, Hasmi Hashim berkata, pemimpin politik, baik kerajaan mahupun pembangkang, sering memperalatkan peristiwa berdarah 13 Mei setiapkali ada perbahasan isu yang melibatkan kepentingan kaum dan agama.

"Sepatutnya, isu 13 Mei dibenarkan dibincang secara terbuka, ilmiah dan dalam suasana tenang," katanya dalam forum di Dewan Perhimpunan Cina Selangor (SCAH) di ibu negara semalam.

Hasmi berkata, sudah tiba masanya masyarakat Malaysia membahaskan isu-isu sejarah seumpama ini agar dijadikan teladan bagi mengorak langkah ke arah membina bangsa yang bersatu, progresif, berbudaya ilmu dan toleransi.

Sementara itu, Lee Khai Loon dari Youth For Change (Y4C) berkata, kerajaan bertanggungjawab menggalakkan individu membuat kajian mengenai kebenaran yang terselindung di sebalik sesuatu sejarah dan bukannya mengambil tindakan keras terhadap mereka.

Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan penerbitan buku tersebut kerana memberi ruang kepada orang ramai menyiasat peristiwa sebenar 13 Mei.

Turut bercakap dalam forum tersebut ialah kolumnis malaysiakini, Lee Ban Chen yang menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) supaya membantah rampasan buku tersebut.

Manakala, Fathi Aris Omar, wartawan dan penulis buku, berkata buku "13 Mei" ini boleh dijadikan sebagai buku teks bagi subjek hubungan etnik di universiti.