Tiga sekeluarga maut selepas dua buah kereta dinaiki mereka dihempap pokok dalam kejadian di Jalan Kuala Krai - Kota Bharu berhampirkan Kem Desa Pahlawan, Kota Bharu, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata, dalam kejadian sekitar jam 8 malam itu ketiga-ketiga mangsa terdiri daripada pasangan suami isteri berusia 44 dan 40 tahun serta seorang anak perempuan berumur lima tahun tersepit dalam kereta dinaiki mereka.

"Ketika kejadian keadaan cuaca hujan lebat dan ribut. Sebaik pihak JBPM (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia) sampai, usaha untuk mengeluarkan mangsa dilakukan.

"Mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan. Pemandu dan penumpang sebuah lagi kereta yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Tambah Mohd Rosdi, kesemua mayat mangsa di bawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk dibedah siasat.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklafikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari arah Machang ke Kota Bharu.