Beberapa pemimpin India dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan laporan yang mendakwa mereka telah menarik diri daripada bertanding dalam pemilihan parti tersebut minggu depan.

Kumpulan itu berkata, keputusan Ketua PKR Kepong, Datuk KS Nallakarupan, 60, untuk menarik diri daripada bertanding jawatan naib presiden, tidak langsung mempengaruhi pendirian mereka.

Nallakarupan, sahabat karib Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini mengumumkan akan bertanding jawatan tersebut.

Walaupun memperolehi jumlah pencalonan yang kedua terbanyak bagi jawatan tersebut, beliau telah menarik diri sepertimana yang dilaporkan oleh akhbar the Star. Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan sebabnya.

Laporan itu juga menamakan beberapa orang lagi pemimpin PKR yang akan mengambil tindakan yang sama, antaranya Ketua PKR Klang, P Krishnasamy dan Ketua PKR, M Maniselvam - kedua-duanya merupakan menyokong kuat Nallakarupan.

Laporan itu memetik sumber-sumber sebagai berkata, Timbalan Pemuda PKR Bera, T Sarawanan dan Ketua Pemuda PKR Jempol, M Dhinesh juga akan menarik diri daripada bertanding dalam pemilihan parti itu.

Dalam satu sidang akhbar yang diadakan secara tergesa-gesa semalam yang dihadiri oleh kira-kira 20 pemimpin India dalam PKR di Petaling Jaya, Naib Ketua Pemuda PKR, S Manikavasagam menafikan kenyataan tersebut.

Malah, katanya, Dhinesh tidak dicalonkan untuk sebarang jawatan tetapi laporan tersebut memberi gambaran bahawa pemimpin India dalam PKR akan menarik diri daripada bertanding dalam pemilihan parti.

Proses demokrasi

Manikavasagam kemudiannya menegaskan bahawa beliau akan bertanding kerusi Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT).

Sarawanan juga turut menafikan laporan tersebut dan menegaskan bahawa beliau akan menerima pencalonan bagi jawatan exco pemuda. Tambahnya, beliau tidak pernah dihubungi oleh penulis berita tersebut.

Mengenai keputusan Nallakarupan untuk menarik diri, Manikavasagam berkata, beliau tidak tahu sebabnya, tetapi menegaskan ia adalah sesuatu yang lumrah dalam sebuah parti yang demokratik.

Dengan itu, kini tinggal tiga calon bagi jawatan naib presiden - Dr Lee Boon, Fuziah Salleh dan Azmin Ali.

Azmin dijangka mempertahankan jawatan tersebut manaka seorang lagi penyandangnya, R Sivarasa telah menarik diri.

Senarai penuh calon-calon yang akan bertanding akan diumum hari ini.