Husam: Beri lebih masa pada pemimpin PAS sekarang
Pucuk pimpinan PAS sekarang perlu diberi masa kerana tempoh dua tahun masih terlalu awal untuk dibuat penilaian, kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.
Pucuk pimpinan PAS sekarang perlu diberi masa kerana tempoh dua tahun masih terlalu awal untuk dibuat penilaian, kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.
Katanya, dua tahun merupakan tempoh peringkat permulaan, dan memerlukan lebih masa untuk memberi kieyakinan kepada ahli dan penyokong PAS.
"Semuanya baru, Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa masih baru, tetapi semuanya terkawal. Saya rasa mereka perlu lebih masa bukannya dua tahun," katanya dalam temubual dengan malaysiakini baru-baru ini.
Gandingan Abdul Hadi dan Nasharuddin dipilih dalam Muktamar PAS 2005 di Kota Baru. Abdul Hadi menang tanpa bertanding manakala Nasharuddin mengalahkan penyandang, Hassan Shukri dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.
Husam yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkata demikian sebagai merujuk kepada Muktamar PAS di Kota Baru 1 Jun ini yang menyaksikan pertandingan jawatan utama dalam parti itu.
Kecuali Abdul Hadi yang dijangka tidak dicabar, Ketua Dewan Ulamak, Datuk Harun Taib dijangka mencabar Nasharuddin bagi jawatan timbalan presiden.
Husam berkata, Abdul Hadi telah berjayamemimpin PAS dengan baik terutama dalam membina hubungan antara parti itu dengan orang bukan Islam.
"Tidak ada kepincangan dalam kepimpinan PAS sekarang. Hadi telah memainkan peranannya sebagai pemimpin utama PAS," katanya.
Peranan Dr Mahathir
Husam mendakwa ada pihak tertentu di luar parti yang cuba memberi pandangan buruk terhadap pimpinan PAS untuk memecahbelahkan perpaduan parti itu.
Katanya, adalah salah untuk mengatakan pemimpin PAS terbahagi kepada dua kumpulan - ulamak dan profesional.
"Jangan hanya mereka berserban dan berjubah kita panggil dia ulamak konservertif. Adakah Harun ulamak konservertif," katanya.
Sementara itu, Husam menyarankan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk terus memainkan peranan menyedarkan rakyat di negara ini.
"Teguran Dr Mahathir terhadap negara, demokrasi dan kepimpinan sekarang penting untuk rakyat mengetahu perkara sebenar yang berlaku dalam negara kita," katanya.
Beliau berkata, adalah satu kerugian jika bekas Perdana Menteri itu tidak memainkan peranan menyedarkan rakyat seperti yang dibuatnya sekarang.
Mulai pertengahan tahun lalu, Dr Mahathir banyak mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, termasuk pembatalan pembinaan Jambatan Bengkok menggantikan Tambak Johor dan projek Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor yang menurutnya seperti menyerahkan wilayah itu kepada Singapura.

