PAS harus menjelaskan kepada ahli dan penyokongnya bahawa mengundi parti lain tidak menyebabkan seseorang muslim jatuh kafir, kata Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Ini susulan klip video tular yang menunjukkan seorang pengundi tua menegur seorang pekerja kempen Barisan Nasional (BN), mengatakan bahawa sesiapa yang menyokong Umno adalah kafir dan akan masuk neraka.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Asyraf melahirkan rasa kesalnya terhadap kejadian itu dan menggesa pengundi memahami perbezaan antara Islam sebagai agama dan PAS yang merupakan sebuah parti politik.

“Kita mesti membezakan antara Islam dan parti. Ini dua perkara berbeza.

“Tidak menyokong PAS tidak sesekali menjatuhkan kekufuran kita. Tidak mengundi Umno pun tidak menjatuhkan kekufuran kita.

“Kerana Islam adalah lebih tinggi daripada parti politik, walaupun politik adalah sebahagian daripada agama, kerana Islam menuntut untuk kita menjaga keseluruhan aspek kehidupan, termasuklah aspek politik," katanya.

Asyraf berkata umat Islam tidak seharusnya hanya menilai orang lain dan menggelar mereka sebagai kafir hanya kerana perbezaan politik.

Politik juga tidak boleh menyebabkan umat Islam memutuskan hubungan.

“Saya amat mengharapkan barisan kepimpinan tertinggi PAS dapat mengeluarkan arahan dan kenyataan bagi menjernihkan fenomena ini – bahawa siapa saja mengundi mana-mana parti politik tidak sesekali jatuh kekafiran ataupun masuk neraka," katanya.

Klip video yang tular di media sosial sejak semalam menunjukkan seorang wanita dipercayai ahli Umno mendekati seorang wanita warga emas untuk meraih undinya bagi calon BN.

Warga emas itu berkata dia tidak akan sekali-kali mengundi BN kerana percaya semua yang menyokong Umno adalah kafir.

Berdasarkan loghat mereka, kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah negeri di pantai timur Malaysia.