Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lepas tinggalkan Bersatu Faiz umum sedia sertai PKR

Muhammad Faiz Na'aman menyatakan kesediaannya menyertai gabungan parti kerajaan selepas beberapa jam mengumumkan langkahnya meninggalkan Bersatu.

Dia yang juga antara watak yang terawal dalam penubuhan Bersatu berkata, ketika ini PKR dilihat banyak memiliki persamaan dengan dasar yang diperjuangkannya.

Bercakap kepada Malaysiakini, Faiz berkata dia terbuka kepada sebarang pelawaan untuk menyertai PKR, sementelah memang menghormati kewujudan parti tersebut.

“Sebab prinsip-prinsip perjuangannya ada yang kena dengan saya... banyak yang kena (sesuai), jadi saya terbukalah kepada PKR andai kata mereka dapat melihat saya sebagai aset.

"Saya pun macam ada agenda yang lebih kurang sama (dengan PKR) untuk negara dalam memulihkan ekonomi negara semua ini,” katanya.

Pagi tadi Faiz membuat pengumuman meletakkan jawatannya sebagai anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, selain memuktamadkan langkah meninggalkan parti tersebut.

Katanya keputusan tersebut dibuat secara sukarela dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

Mengulas hala tujunya selepas ini, Faiz berkata dia mengambil pendekatan tunggu dan lihat dulu selain akan meneliti tawaran yang bakal diterimanya.

“Insya-Allah, saya tunggu dan lihat sebelum meneliti jika ada pelawaan.

"Saya memang dan bersedia untuk berhijrah kepada mana-mana wadah politik,” tambahnya.

Sementara itu, ditanya sama ada tindakannya meninggalkan Bersatu berpunca daripada merajuk selepas tidak dicalonkan dalam pilihan raya di enam negeri ketika ini, Faiz menafikan hal tersebut.

Sebaliknya, kata ahli politik yang menjadi pertaruhan Bersatu-PN untuk mengalahkan Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk pada PRU ke-15 Nov tahun lalu itu menjelaskan, ada banyak faktor menjadi pendorong keputusannya.

“Kalau nak kata tak dapat jadi calon itu (jadi punca), sewaktu saringan MPT untuk PRU ke-14 dulu pun saya tak dipertandingkan. Tak ada merajuk pun (kerana itu).

“Jadi, kalau nak kata semata-mata kerana tak jadi calon PRN ini saya merajuk, itu tak betul.

"Keputusan hari ini ialah gabungan pelbagai faktor yang menyebabkan saya mengambil tindakan yang berat. Bukan semudah (kerana) tidak menjadi calon saja,” katanya.

Dalam PRU ke-15 lalu Faiz menghadapi pertembungan empat penjuru. Selain Ahmad Zahid selaku penyandang, dia juga berdepan dengan Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH) dan Tawfiq Ismail (bebas).

Ahmad Zahid berjaya mengekalkan kerusi tersebut dalam tangan BN, manakala Faiz hanya memperoleh 8,822 undi.

Lihat Komen
ADS