Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata rakyat tidak selesa dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menawarkan diri sebagai pemimpin alternatif, tetapi mempunyai hubungan rapat dengan bekas presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz yang terbabit dalam skandal antarabangsa dan juga merupakan arkitek Perang Iraq.

Oleh itu, katanya, penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu perlu memberi penjelasan mengenai hubungannya dengan Wolfowitz yang terbabit dalam skandal Bank Dunia tersebut.

"Anwar perlu jawab hubungannya sebagai pengerusi Foundation For The Future dengan skandal Wolfowitz dan teman wanitanya Shaha Riza yang membawa kepada peletakan jawatan Wolfowitz sebagai presiden Bank Dunia," kata Khairy.

Menurut laporan Bernama, Khairy memberitahu pemberita demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan ahli Pemuda Umno Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Katanya, Anwar perlu menjawab isu itu kerana media melaporkan beliau ada campurtangan dalam skandal itu, memandangkan pada tahun lalu, yayasan tersebut telah menulis surat kepada Bank Dunia meminta Shaha Riza dipindahkan dari Jabatan Negara Amerika ke yayasan itu.

"Anwar perlu menjelaskan peranan beliau dalam skandal itu di mana wanita itu telah dinaikkan gaji yang luar biasa apabila dipindahkan dari Bank Dunia ke Jabatan Negara Amerika Syarikat, sebelum bertukar ke yayasan itu," katanya.

Khairy berkata, jika tuduhan yang dibangkitkan media mengenai perkara itu betul bahawa ada penyalahgunaan kuasa dan skandal itu membabitkan Anwar sebagai pengerusi yayasan berkenaan, maka ia perlu dijawab.

Jawatankuasa WPI

Sementara itu, Khairy berkata Jawatankuasa Khas Malaysia-Singapura tentang Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) merupakan satu jawatankuasa penyelarasan khusus dalam isu logistik dan bukan bagi mendapatkan pandangan republik itu dalam soal pembangunan WPI.

"Jawatankuasa itu hanya untuk memudahkan pengunjung keluar masuk dari Singapura ke wilayah itu dan kita tidak perlu mendapatkan pandangan republik itu untuk pembangunan WPI," katanya ketika diminta mengulas tanggapan negatif mengenai penubuhan jawatankuasa berkenaan.

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telahpun membuat penjelasan mengenai perkara itu.

Abdullah dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas itu selepas pertemuan tidak formal mereka di Langkawi pada 15 Mei lalu.

Isu Lojing

Dalam perkembangan lain, Khairy mahu rakyat Kelantan menilai kerajaan negeri PAS yang didakwanya tidak mampu menguruskan negeri ini dengan baik sehingga dapat "dikawal" oleh hanya seorang anggota Exco.

Katanya, Exco Kelantan itu, Datuk Husam Musa menjawab pelbagai isu yang berbangkit, termasuk isu pembalakan di tanah tinggi Lojing sedangkan Menteri Besar atau timbalannya hanya duduk diam.

"Masalah dalaman negeri perlu dijawab oleh Menteri Besar (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) atau timbalannya, seperti apa yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional, tetapi Menteri Besarnya tidak ada idea dan timbalannya hanya mampu menjawab sedikit dalam soal Lojing dan ke mana pergi exco yang bertanggungjawab," katanya.

Khairy mempersoalkan kaitan Husam dengan isu Lojing sehingga semua isu itu dijawab beliau dan setakat ini jawapan yang diberikan tidak memuaskan rakyat negeri ini.

"Beliau menuduh saya yang bukan-bukan dalam soal penjualan saham, tetapi apa yang terjadi, konsesi pembalakan diberi kepada syarikat yang dikuasai warga asing yang mencemarkan alam sekitar dan membawa kesan buruk jangka panjang kepada rakyat negeri ini," katanya.

Menurut Khairy lagi, kerajaan Kelantan pimpinan Pas tidak mampu membawa program pembangunan untuk manfaat negeri ini tetapi dalam isu Lojing ini mereka sanggup menggadaikan khazanah alam negeri kepada syarikat yang dikuasai warga asing termasuk menandatangani memorandum persefahaman dalam perlombongan emas di Sokor, Tanah Merah dengan pelabur China.

Katanya kerajaan negeri perlu bertanggungjawab dalam isu Lojing yang menjadi isu nasional kerana ia menunjukkan parti yang memerintah Kelantan mengutamakan keuntungan dan bukan masa depan rakyat negeri ini.

Beliau berkata Pemuda Umno akan mengenengahkan isu dan masalah dalaman yang melanda parti yang memerintah negeri ini di kalangan golongan muda di negeri ini supaya mereka menilai sama ada parti yang memerintah ini baik atau sebaliknya demi manfaat rakyat negeri ini.