Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Manifesto sememangnya bukanlah sebuah kitab suci tetapi ia merupakan sebuah tawaran baharu atau alternatif lain buat pengundi dalam usaha mempertingkatkan pembangunan infrastruktur serta kesejahteraan rakyat, selain merencanakan pelbagai inisiatif mesra rakyat yang lebih segar dan progresif.

Dalam tradisi pilihan raya kita, sejak dulu lagi manifesto dilihat sebagai sesuatu yang amat penting, rakyat tak kira dari parti apa pun sentiasa menunggu tawaran dari setiap parti yang bertanding untuk memastikan pilihan mereka tepat. 

Maka, meskipun manifesto itu dikatakan hanya sekadar tawaran, namun masyarakat di luar sana tetap melihat ia sebagai sebuah janji yang wajib ditunaikan.

Oleh itu, amatlah penting untuk setiap parti merangka manifesto dengan penuh teliti, relevan dan tidak bersifat populis semata-mata kerana dokumen yang merangkumi pelbagai tawaran itu penting sebagai gagasan untuk mentadbir negara. 

Pengalaman pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 telah mengajar kami untuk lebih berhati-hati dalam menetapkan setiap tawaran dalam manifesto.

Kini rakyat tidak lagi percayakan manifesto kerana mereka telah dikecewakan pada PRU 14 lepas.

Maka sudut pandang mereka terhadap manifesto tidak lagi penting dalam menentukan kelebihan sesebuah parti sebaliknya mereka melihat kepada personaliti seseorang calon dan sentimen semasa terutamanya di peringkat nasional.

Rakyat nekad untuk tidak lagi digula-gulakan.

Pada saya, rakyat berhak untuk marah kerana bukankah merekalah penentu kemenangan sesebuah parti?

Dan sebagai seorang ahli politik yang kerja dan khidmatnya untuk rakyat, maka amatlah wajar untuk kita tunduk terhadap kehendak mereka.

Namun dalam masa sama, kita akan terus menyakinkan rakyat bahawa manifesto adalah blueprint serta jalan untuk sesebuah parti mencorakkan hala tuju negara.

Apabila tidak ada manifesto, bagaimana rakyat ingin ‘mengikat’ sesebuah parti supaya terus memikirkan nasib rakyat dan memperkasakan ekonomi negara?

Janji bulan bintang

Kemarahan rakyat dan kegagalan parti melaksanakan manifesto mereka ada hikmahnya.

Pertama ia menunjukkan betapa pentingnya suara rakyat. Kedua, naratif politik setiap parti berubah secara drastik. 

Parti tidak lagi dengan mudahnya menjanjikan bulan dan bintang sekali gus memaksa mereka untuk menurunkan calon yang benar-benar berkualiti.

Bagaimanapun, pada hemat saya, manifesto dalam konteks pilihan raya negeri (PRN) sebenarnya lebih penting dan berkesan.

Ia bersifat lebih kecil dan tumpuan dipusatkan hanya kepada sesebuah kawasan dalam sebuah parlimen sebelum membentuk sebuah kerajaan negeri.

Maka manifesto yang ingin dirangka jauh lebih mudah dan efektif kepada masyarakat setempat.

Saluran longkang tersumbat, jalan raya tidak berturap, kawasan parkir tidak mencukupi atau ketiadaan perpustakaan merupakan antara perkara yang diambil kira dalam merangka manifesto.

Begitu juga dengan memastikan kebersihan di kawasan perumahan terjaga dan menyediakan kawasan khas untuk para peniaga.

Dalam memastikan manifesto ini lebih mampan dan tersusun, maka calon akan berbincang dengan beberapa pihak yang penting seperti pertubuhan bukan kerajaan

(NGO) atau aktivis untuk mendengar dan menimbang saranan mereka. 

Meskipun calon di setiap kawasan berhak menggubal manifesto mereka sendiri, namun ia perlu selaras dengan manifesto negeri.


RINA HARUN merupakan ketua Wanita Perikatan Nasional (PN) dan ketua Srikandi Bersatu serta calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga bagi PRN Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS