Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR),Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti itu minggu depan, yang akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru dengan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seorang ahli veteran Abdul Rahman Othman.

Wan Azizah, yang menerajui parti itu sejak pemecatan Anwar sebagai timbalan perdana menteri pada 1998, sebelum ini membayangkan beliau akan memberi laluan kepada suaminya untuk menerajui parti pembangkang itu.

Anwar menerima 120 pencalonan manakala Azizah memperolehi 10 pencalonan. Abdul Rahman, yang merupakan bekas timbalan presiden parti Keadilan, mendapat tujuh pencalonan.

Sekiranya menang, tidak dapat dipastikan sama ada Anwar boleh memegang jawatan tersebut kerana tempoh larangan beliau aktif dalam politik - selepas disabit dengan kesalahan rasuah - hanya akan berakhir pada April tahun depan.

Begitu juga tidak jelas siapakah yang bakal menerajui PKR sekiranya Pendaftar Pertubuhan tidak menerima kemenangan Anwar itu.

Adakah ianya akan dipegang oleh Timbalan Presiden, Dr Syed Husin Ali, yang mengekalkan jawatannya tanpa bertanding, atau Wan Azizah,yang dijangka memperolehi undi kedua tertinggi.

"Kami akan tentukan bila tiba masanya," kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Kamarul Baharin ketika mengumumkan senarai calon di ibupejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini.

Menang tanpa bertanding

Azmin Ali, seorang lagi yang dicalonkan untuk bertanding jawatan timbalan presiden, telah menarik diri hari ini. Ekoran itu, beliau akan mempertahankan jawatan naib presiden.

Ketika ditemui, Azmin berkata, pada awalnya beliau menerima pencalonan untuk jawatan timbalan presiden ekoran desakan kuat daripada ahli akar umbi. Beliau menerima 57 pencalonan manakala Syed Husin mendapat 73 pencalonan.

Beliau menarik diri pada saat-saat akhir selepas mengadakan perbincangan dengan Syed Husin dan pemimpin PKR yang lain.

Lima calon akan bertanding merebut tiga jawatan naib presiden, termasuk penyandangnya Dr Lee Boon Chye, Ketua Wanita, Fuziah Salleh; Timbalan Ketua PKR Sabah, Jeffrey Kitingan; penyandang, Mustaffa Kamil Ayub dan Dr Xavier Jeyakumar.

Seorang lagi penyandang, R Sivarasa menarik diri. Beliau mendapat 38 pencalonan - keempat terbanyak. Beliau hanya akan bertanding kerusi Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT).

Seramai 63 calon akan bertanding kerusi MPT.

Sementara itu, Datuk KS Nallakaruppan telah mengejut ahli parti apabila menarik dari daripada bertanding jawatan naib presiden walaupun mendapat pencalonan kedua tertinggi (57).

Perlembagaan parti itu membolehkan perlantikan dua orang lagi naib presiden.

Kongres nasional PKR akan diadakan minggu depan di sebuah sekolah Cina di Seremban.

Senarai calon dan jumlah pencalonan:

Presiden

Anwar Ibrahim (120)

Dr Wan Azizah Wan Ismail (10)

Abdul Rahman Othman (7)

Timbalan Presiden

Syed Husin Ali (tanpa bertanding)

Naib Presiden (3 jawatan)

Dr Lee Boon Chye (85)

Fuziah Salleh (42)

Azmin Ali (34)

Dr Jeffrey Kitingan (33)

Mustapa Kamil Ayub (33)

Dr Xavier Jayakumar (4)