Dua pesaing dalam pilihan raya negeri (PRN) bagi kawasan Dewan Udangan Negeri (DUN) Demit berkongsi aspirasi apabil masing-masing mahu melihat wujudnya Bandar Diraja Kubang Kerian pada masa akan datang.
Calon PH-BN, Ismail Ghani, berkata kedudukan kawasan itu yang terletak di bawah Parlimen Kubang Kerian sangat strategik kerana berhampiran dengan bandar Kota Bharu.
Katanya jika diberi mandat sebagai wakil rakyat bagi DUN Demit, perkara pertama yang mahu diusahakan adalah menaik taraf Kubang Kerian untuk menjadi bandar diraja.
"Kalau di negeri-negeri lain seperti Perak dan Selangor, sudah lama ada bandar.
"Apabila kita masuk ke kawasan bandar diraja, dapat dilihat keceriaannya berbeza. Infrastrukturnya lengkap, jalan raya yang diselenggara dengan baik, tiada isu kebersihan dan rakyatnya hidup dengan akhlak yang tinggi, berpendidikan, dan perpaduan yang utuh sesuai dengan gagasan Madani.
"Saya sedar di pihak kerajaan negeri ia sudah diusahakan namun prosesnya terlalu perlahan," katanya.
Bercakap pada sidang media harian untuk calon-calon Amanah Kelantan di Kota Bharu hari ini, Ismail berkata, banyak aspek yang perlu diberi perhatian untuk mewujudkan bandar diraja.
Katanya langkah itu boleh direalisasikan dengan mudah jika kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya.
Perlu penjenamaan besar
Tambahnya, perkara itu diharap dapat dilaksanakan sama oleh kerajaan negeri yang akan mentadbir Kelantan selepas 12 Ogos nanti.
"Sebagai contoh di Kubang Kerian banyak perkara perlu diberi perhatian khususnya melibatkan ruang parkir di sekitar Hospital Universiti Sains Malaysia yang kini sangat sesak, sistem perparitan dan pengurusan keceriaan.
"Isu-isu seperti ini saya rasa boleh diatasi dengan lebih efisen jika kerajaan negeri selari dengan kerajaan persekutuan selepas kerajaan negeri sebelum ini dilihat gagal mengatasinya," katanya yang juga bekas pegawai tadbir negeri Kelantan.
Sementara itu calon PN Asri Daud pula berkata, menjadi cabaran besar buat calon yang bertanding memandangkan DUN Demit merupakan kawasan penting.

Katanya, cadangan mewujudkan Bandar Diraja Al-Muhammadi Kubang Kerian sudah diluluskan sejak 2017 lagi dengan melibatkan kawasan seluas 480 hektar.
Menurut Asri, sebahagian besar daripada kawasan terbabit berada dalam DUN Demit.
"Di Kubang Kerian ini ada istana mahkota dan istana negeri, itu adalah mercu yang besar khususnya di Demit sendiri. Maka ia memerlukan penjenamaan yang besar.
"Jadi inysa-Allah apabila berjaya nanti ia akan bertambah pesat dari sudut kebudayaan, pelancongan dan bandar keilmuan.
"Itu memang menjadi cabaran buat mereka yang jadi calon di situ, bukan mudah," katanya dalam sidang media, baru-baru ini.
Tambah bekas setiausaha poltik menteri besar Kelantan itu, calon yang menang nanti perlu berbincang secara khusus dengan pihak yang bertanggungjawab untuk membangunkan Bandar Diraja Al-Muhammadi Kubang Kerian.
