Sanusi tak muncul berceramah kerana perlu berehat
Menteri besar sementara Kedah kelihatan cuba mengendurkan khabar-khabar angin yang mengaitkan dia dengan isu ancaman keselamatan seperti diumumkan salah seorang ahli parlimen PAS malam tadi.
Menurut Muhammad Sanusi Md Nor sehari dua ini dia perlu memenuhi pelbagai jadual yang ketat termasuk melakukan perjalanan jauh dari Kedah ke Kuala Lumpur.
Keadaan itu, katanya, menyebabkan dia tidak dapat hadir pada program yang sudah disusun terlebih awal.
“Saya perlu hadir mesyuarat PAS Pusat dan beberapa mesyuarat lain di Kuala Lumpur.
"Saya pergi dengan kereta dan balik sampai lewat, sudah tentu tidak dapat hadir program yang sepatutnya saya dijadualkan hadir.
"Mana boleh, kena rehatlah,” katanya seperti dipetik Sinar Online hari ini.
Kenyataan Pengarah Pilihan Raya PN itu juga sekali gus menafikan dakwaan pihak tertentu yang mengaitkan ketiadaan Sanusi di pentas ceramah mempunyai kaitan dengan isu keselamatan.
Elak terkejar-kejar
Menurut laporan sama, Sanusi juga menolak andaian pihak-pihak tertentu yang mendakwa terdapat ugutan mahupun diberikan arahan mengunci mulut sehingga hari mengundi.
“Semua dakwaan di atas adalah tidak benar,” katanya.
Malam tadi Sanusi dijadual hadir sebagai penceramah untuk kempen PN di Taman Ria, Sungai Petani, Kedah.
Bagaimanapun dia tidak muncul dan Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden 'memanaskan' situasi dengan mendakwa Sanusi berdepan dengan risiko keselamatan.
“Saya nak baca kertas ini tulis berita yang menyedihkan. Pagi tadi (semalam) menteri besar mesyuarat di Kuala Lumpur, mesyuarat penting.
"Dalam mesyuarat tersebut dibincang beberapa perkara penting, perkara besar. Daripada itu dinasihatkan beliau tidak meneruskan ceramahnya pada malam ini.
“Ini kerana ada perangkap yang dipasang oleh musuh, perangkap itu menghendaki menteri besar kita masuk ke dalam itu, (kemudian) dia pegang dan buat sesuatu kita tak jangka, jadi dalam waktu ini kita kena bersedia segala kemungkinan,” katanya yang dipetik Utusan Online.

Menurut Sanusi ketiadaannya di majlis ceramah semalam tidak ada kaitan dengan spekulasi yang mendakwa dia 'direhatkan' oleh parti kerana lantang bersuara semasa berkempen.
Ketiadaan Sanusi di pentas ceramah malam tadi adalah yang kedua selepas kejadian pertama di Taman Serai Wangi, Padang Serai pada 5 Ogos lalu.
Ia kemudian mencetuskan khabar angin kononnya dia ditahan polis sekali lagi. Bagaimanapun Polis Diraja Malaysia kemudian menafikan laporan berita tersebut.
Mengulas mengenai isu risiko keselamatan yang dihadapinya, Sanusi berkata ia melibatkan langkah berjaga-jaga yang diambil PAS bagi mengelak kejadian tidak diingin biasa.
“Keselamatan itu antaranya tak bolehlah bawa kereta laju-laju nak bagi cepat sampai.
"PAS Kedah ambil langkah-langkah keselamatan bagi mengurangkan aktiviti saya supaya tak terkejar-kejar ke sana sini. Macam-macam boleh terjadi dalam perjalanan.
“Namun ada juga pesanan-pesanan dan langkah-langkah (keselamatan) lain yang perlu dirahsiakan,” ujarnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/f3d549b7615d0288d55df3040d858258.jpg)
