Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan sekat laman web UtusanTV
Diterbitkan:  Aug 7, 2023 8:07 PM
Dikemaskini: 1:21 PM

Kerajaan telah menyekat akses ke laman web UtusanTV.com kepada sesetengah pengguna internet di Malaysia.

Percubaan untuk mengakses laman web itu tertera notis yang menyatakan bahawa "laman sesawang ini tidak dapat diakses di Malaysia kerana melanggar undang-undang negara".

Notis itu tidak menghuraikan sifat pelanggaran yang didakwa dan butang yang dikatakan memaut kepada maklumat lanjut apabila diklik tidak berfungsi.

UtusanTV.com ditubuhkan oleh bekas kakitangan Utusan Malaysia selepas syarikat induknya Utusan Melayu (Malaysia) Berhad ditutup pada 2019 kerana masalah kewangan.

Akhbar Utusan Malaysia sekarang telah dilancarkan semula pada tahun 2020 di bawah pengurusan baru, dan tidak bergabung dengan UtusanTV.com.

Malaysiakini telah menghubungi ketua pengarang UtusanTV Zulkefli Hamzah mengenai sekatan itu tetapi dia enggan mengulas. Difahamkan, penerbitan itu sedang berhubung dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Malaysiakini juga telah menghubungi SKMM dan sedang menunggu jawapan.

Dalam satu kenyataan, kumpulan wartawan Gerakan Media Merdeka (Gerammm) berkata SKMM mesti mempunyai mekanisme yang jelas untuk menyekat kandungan dalam talian, terutamanya apabila melibatkan portal berita.

"Tindakan untuk memberi notis atau peringatan kepada pihak media berkaitan juga perlu dilakukan sebelum sekatan dikenakan.

"Setakat ini dalam dua kejadian dilaporkan, pihak editorial berkaitan tidak diberi sebarang pemberitahuan bahawa laman web mereka telah disekat, atau alasan sekatan dibuat.

"Adalah agak pelik apabila pihak SKMM sebaliknya bertindak untuk 'menyiasat' aduan yang dibuat oleh pengurusan media yang disekat, sedangkan perlu ada alasan jelas sebelum sekatan dibuat, dan tidak ada pihak berkuasa lain yang boleh mengambil tindakan sedemikian," kata kumpulan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS