Anwar nafi terbabit dalam pelantikan Shaha Ali Reza
Pengerusi Yayasan Masa Hadapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan laporan bahawa beliau telah melantik Shaha Ali Riza teman wanitanya bekas Presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz ke yayasan tersebut.
Pengerusi Yayasan Masa Hadapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan laporan bahawa beliau telah melantik Shaha Ali Riza teman wanitanya bekas Presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz ke yayasan tersebut.
"Saya tidak melantik Shaha Ali Reza ke yayasan (itu). Beliau mula-mula ditugaskan oleh Bank Dunia menerusi Jabatan Negara Amerika untuk Yayasan pada hujung 2005 sebelum saya menjadi pengerusi," katanya dalam satu kenyataan
"Jawatankuasa eksekutif telah memutuskan pada pertengahan 2006 untuk menyeragamkan perlantikan tersebut agar Shaha menasihati secara langsung dari Bank Dunia dan bukannya Jabatan Negara," katanya.
Semalam, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menggesa penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memberi penjelasan mengenai hubungannya dengan Wolfowitz yang terbabit dalam skandal Bank Dunia tersebut.
Bercakap di Kota Bharu semalam, Bernama melaporkan Khairy sebagai berkata Anwar perlu menjawab hubungannya sebagai pengerusi Yayasan Masa Hadapan (Foundation For The Future) dengan skandal Wolfowitz dan teman wanitanya yang membawa kepada peletakan jawatan sebagai Presiden Bank Dunia.
Menurut Khairy lagi, media telah melaporkan Anwar ada campurtangan dalam skandal itu, memandangkan pada tahun lalu, yayasan tersebut telah menulis surat kepada Bank Dunia meminta Shaha Riza dipindahkan dari Jabatan Negara Amerika ke yayasan itu.
Propaganda media Umno
"Anwar perlu menjelaskan peranan beliau dalam skandal itu di mana wanita itu telah dinaikkan gaji yang luar biasa apabila dipindahkan dari Bank Dunia ke Jabatan Negara Amerika Syarikat, sebelum bertukar ke yayasan itu," kata Khairy lagi.
Sehubungan itu, Anwar berkata, yayasan tersebut akan mengeluarkan kenyataan penuh selepas mesyuarat di Bahrain minggu hadapan.
"Tetapi, memandangkan propaganda yang berterusan dari media kawalan Umno, saya telah memutuskan untuk mengeluarkan kenyataan ini.
"Sekiranya tiada penjelasan oleh media berkenaan isu ini, yayasan tidak akan teragak-agak untuk memulakan tindakan perundangan terhadap pihak-pihak terbabit," katanya
Dalam kenyataannya itu, Anwar menjelaskan penubuhan Yayasan Masa Hadapan mula-mula diumumkan di Bahrain pada November 2005 oleh menteri luar dan pembangunan dari Timur Tengah, Afrika Utara, Eropah dan Amerika Syarikat.
"Yayasan tersebut merupakan sebuah badan independen, melibatkan kerajaan dan masyarakat madani untuk menyokong badan-badan bukan kerajaan di dalam usaha membangunkan demokrasi dan kebebasan di Timur Tengah dan Afrika Utara.
"Dari awal, sebanyak AS$56 juta telah dijanjikan kepada Yayasan. Setakat ini, Yayasan hanya menerima dana dari Turki, United Kingdom dan Jordan, antara lain. Amerka Syarikat tidak memberikan sebarang dana kepada Yayasan," katanya.
Dilantik pengerusi
Menurut Anwar lagi, beliau dijemput menyertai lembaga pengarah Yayasan pada pertengahan 2006 bersama-sama wakil dari Maghribi, Kuwait, Iraq, Sepanyol, Syria, Turki, Lubnan, Amerika Syarikat, Arab Saudi, Mesir, Switzerland dan Qatar.
"Ahli lembaga pengarah yang lain termasuklah Kamel Abu Jaber, penasihat kepada Menteri Luar Jordan; Dr. Cornelio Sommaruga, bekas Presiden Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa; Professor Ibrahim Kallin, penasihat Menteri Luar Turki, dan Sandra Day O' Connor, bekas hakim Mahkamah Agung Amerika Syarikat.
"Mesyuarat lembaga pengarah yang pertama diadakan di Doha, Qatar di atas jemputan Sheikh Hamad Bin Jassim Bin Jabr Al-Thani, Menteri Luar dan kini Perdana Menteri Qatar pada 15 Julai 2006, dan saya telah dipilih secara sebulat suara sebagai Pengerusi Kehormat Yayasan. Keputusan yang disepakati ialah untuk mendirikan ibu pejabat di Beirut, Lubnan," katanya.
Bagaimanapun, kata Anwar, dalam mesyuarat lembaga pengarah pada 4 Disember 2006 di Amman, Jordan, beliau bertemu Menteri Luar Jordan Abdelelah Al-Khatib, yang menyokong saranan penubuhan sekretariat serantau di Amman.
Ini ekoran penangguhan dalam mendirikan ibu pejabat Beirut akibat serangan Israel terhadap Lubnan. Mesyuarat lembaga pengarah seterusnya akan diadakan pada 29-30 Mei 2007 di Bahrain.

