Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Ulat hotel’ mengaku salah sebabkan kematian kenalan
Diterbitkan:  Aug 8, 2023 12:03 PM
Dikemaskini: 4:03 AM

Seorang lelaki yang bekerja sebagai “ulat hotel” atau berperanan menempah bilik hotel mengaku salah di Mahkamah Sesyen di Raub hari ini, atas tuduhan menyebabkan kematian kenalannya dalam pergaduhan di tempat letak kereta sebuah hotel di Genting Highlands, dua minggu lepas. 

Pengakuan Soh Kuang Liang, 38, yang beralamat di Bukit Beruang Utama, Melaka direkodkan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dengan menumbuk kepala Har Chee Kong, 67, berkali-kali sehingga menyebabkan kecederaan di kepala antara 4.30 hingga 5 petang 26 Julai lepas di Tiang E5, B1 Sky Avenue Carpark di Genting Highlands. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Punitha mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. 

Tertuduh yang memakai pakaian lokap polis warna jingga tidak diwakili peguam pada prosiding hari ini. 

Hakim membenarkan sebutan semula kes pada 18 Sept bagi mendapatkan laporan kimia dan laporan bedah siasat, selain tiada jaminan dibenarkan terhadap tertuduh.

Pada 27 Julai lepas, Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki warga emas dalam keadaan terlentang dengan kesan cedera di muka di tempat letak kereta sebuah hotel di pusat peranginan itu.

Pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa terlibat dalam pergaduhan dengan seorang lelaki di lobi hotel sebelum mereka beredar ke tempat letak kereta dan kembali bergaduh. 

Punca pergaduhan dipercayai akibat salah faham dan rasa tidak puas hati berhubung penyewaan bilik hotel. 

- Bernama 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS