38 pelajar IPTA dikenalpasti sokong pembangkang di Machap, Ijok
Seramai 38 pelajar beberapa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) telah dikenal pasti berkempen untuk pembangkang dalam pilihanraya kecil Machap dan Ijok, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed.
Menurutnya, senarai pelajar IPTA yang menyokong parti calon pembangkang itu, telah diserahkan kepada jawatankuasa pemantau peringkat kementerian untuk diambil tindakan.
"Kita mempunyai maklumat tentang penglibatan mereka dan saya sudah mengarahkan jawatankuasa itu supaya mengambil tindakan terhadap mereka mengikut peraturan yang ada," katanya.
Menurut laporan Bernama, Mustapa memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bukit Jering di Jeli semalam.
Pilihanraya kecil Machap di Melaka dan Ijok di Selangor diadakan bulan bulan lalu dan kedua-duanya dimenangi calon Barisan Nasional (BN).
Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata tindakan pelajar menyokong mana-mana parti politik adalah menyalahi peraturan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang melarang mereka berbuat demikian.

