Sarjan terima suapan RM12,500 dipenjara lapan bulan
Seorang anggota polis berpangkat sarjan dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini setelah mengaku bersalah terhadap 34 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM12,500 pada Disember 2019 hingga Mac 2022.
Mohd Izzham Halim, 36, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, didakwa menerima suapan antara RM50 hingga RM3,200 daripada seorang individu melalui akaun bank, sebagai dorongan bagi menyalurkan maklumat pergerakan operasi pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Kemaman antara 26 Dis 2019 hingga 10 Mac tahun lepas.
Hakim Mohd Azhar Othman memerintahkan hukuman penjara itu dijalankan serentak bermula dari tarikh dituduh iaitu pada 14 Mac lepas bagi kesemua pertuduhan pilihan tersebut.
Mahkamah juga memerintahkan wang sebanyak RM3,200 di dalam akaun peribadi tertuduh dilucuthakkan kepada kerajaan Malaysia di bawah Seksyen 40 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Farah Yasmin Salleh dan Pegawai Pendakwa SPRM Nur Raihan Mohd Yusof manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Najmi Adila Md Nasir.
- Bernama
/file/1071/a51dc8c16a53aa6f5f226228799963c1.jpg)
