Kempen tukar k'jaan pusat: PN miskin idea, ingkar titah Agong - Sheikh Umar
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali menyifatkan Perikatan Nasional (PN) sebagai tidak bermaruah apabila terus menerus memainkan naratif mahu menukar kerajaan pusat sekiranya menang dalam enam pilihan raya negeri (PRN) pada Sabtu ini.
Sheikh Umar yang juga naib pengerusi DAP Johor, malah berkata kempen yang digunakan oleh PN itu juga menggambarkan pakatan pembangkang miskin idea.
“Tiada polisi dasar yang boleh diketengahkan (PN) pada rakyat untuk menyelesaikan isu dan memajukan negeri sehingga menjadikan agenda tukar kerajaan pusat sebagai propaganda murahan.
“Kedua, PN tiada maruah sama sekali kerana masih sibuk berbincang soal rampasan kuasa di peringkat persekutuan sedangkan Agong telah bertitah agar kestabilan politik dan pemulihan ekonomi diberikan keutamaan pasca-PRU ke-15 lalu.
“PN ibarat telah membakul sampah bahkan ingkar titah Yang Dipertuang Agong,” katanya dalam kenyataan, petang ini.
Kelmarin, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu dilaporkan sebagai berkata, ada proses undang-undang yang membolehkan pertukaran kerajaan di peringkat pusat berlaku sekiranya PN menang PRN meskipun terdapat akta antilompat parti.
Ia diikuti kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang semalam yang mendakwa kerajaan persekutuan akan bertukar sekiranya PN menang besar dalam PRN di enam negeri, Sabtu ini.
Mengulas lanjut, Sheikh Umar berkata PN juga telah berbohong kerana baru Disember tahun lalu mereka menyatakan komitmen menjadi pembangkang yang berkesan melalui pendekatan konstruktif, kolaboratif, bertanggungjawab dan setia.
“Ini disebutkan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat sendiri. Namun semuanya bohong. Belum setahun, mereka sudah menzahirkan niat jahatnya untuk menukar kerajaan pusat,” katanya.
Tegas Sheikh Umar, PN dan PAS sepatutnya lebih faham maksud hadis yang membawa maksud “apabila bercakap dia berdusta, apabila berjanji dia mungkiri dan apabila diberi amanah dia khianat".
“Namun inilah yang sedang dilakukan oleh PAS dan PN. Ini ciri-ciri orang munafik
“Saya berharap para pengundi di enam buah negeri dapat melihat wajah sebenar PN. Mereka ini tidak lain tidak bukan hanyalah memburu kuasa semata-mata. Bukan mahu memakmurkan negeri dan membina negara,” tambahnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/07/ae138b512eabf54313efeae3b8b4533b.jpg)
