Sekiranya PAS tewas pada pilihan raya negeri (PRN) di Kelantan kali ini, kata Amanah, ia diyakini bakal memberi kebaikan kepada mereka selepas dilihat terlalu selesa sebagai kerajaan negeri sejak 1990.
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata Kelantan perlu dibawa untuk menikmati perubahan selepas berada di bawah kerajaan yang sama selama lebih 30 tahun.
"Mereka (PAS) sudah terlalu lama memerintah dan begitu selesa sehingga perkhidmatan yang tidak baik untuk rakyat pun dipertahankan.
"Untuk mereka yang bersama PAS dan mahukan sesuatu yang lebih baik buat parti dan negeri, kalah sekali-sekala juga akan mendatangkan kesedaran dan keinsafan," katanya.
Menurut bekas menteri itu kekalahan juga akan menyedarkan para pemimpin PAS bahawa sikap yang angkuh termasuk semasa menjawab isu-isu dihadapi rakyat tidak boleh diterima.
"Saya nak sampaikan kepada orang PAS bahawa tetap ada kebaikan kalau PAS kalah kali ini, iaitu supaya mereka boleh buat post-mortem (pascanilai) dan perbaiki diri.
"Kalau tidak mereka akan berterusan seperti sekarang. Mereka juga boleh kata, tanpa buat apa-apa pun masih boleh menang pilihan raya," katanya.

Khalid ditemui pada sidang media harian Amanah Kelantan di Kota Bharu, semalam.
Hadir sama Pengarah PRN Amanah Kelantan Wan Abd Rahim Wan Abdullah dan calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim.
Untuk rekod PAS mula mentadbir Kelantan sejak 1990 dan sejak itu sudah ada dua menteri besar mengetuai kerajaan iaitu Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ahmad Yakob.
Khalid yang juga pengerusi Amanah Kelantan berkata, pentadbiran terlalu lama PAS menyebabkan minda rakyat terperangkap dengan persepsi salah iaitu menyangka PAS dan Islam adalah entiti yang sama.
Mahu kerajaan berkhidmat
Namun katanya, jika PAS dikalahkan maka parti itu boleh diperbaiki dan mungkin menjadi parti yang lebih cemerlang dan progresif di masa akan datang.
"Jadi jangan takut untuk buat perubahan, kerana zaman nabi Muhammad SAW pun Allah takdirkan tentera Islam pun pernah kalah supaya mereka dapat pengajaran.
"Justeru janganlah anggap PAS itu maksum dan tak perlu lalui itu semua.
"Maknanya orang PAS sendiri tak perlu rasa bersalah jika mereka sokong perubahan ini demi kebaikan parti, kalau mereka sendiri pun boleh nampak PAS sudah silap dan leka (dalam mentadbir)," katanya.
Sementara itu mengulas sejauh mana peluang calon-calon Amanah Kelantan meraih kemenangan pada 12 Ogos nanti, Khalid berkata keputusan pada PRU ke-14 dan PRU ke-15 bukan lagi kayu ukur berdasarkan situasi semasa.

Malah jelasnya keadaan sekarang sukar diramal termasuk kepada parti-parti lawan.
"Sekarang suasana berubah dan daripada program Jelajah Perpaduan Madani kemungkinan ada kawasan atau DUN yang dianggap tiada harapan untuk PH pun kini sudah ada peluang.
"Ini kerana saya rasa benteng utama yang kita boleh tembusi ialah tanggapan bahawa politik ini adalah agama, apabila perkara ini ditangani dengan penjelasan demi penjelasan, ikatan yang membelenggu pengundi dapat dirungkai dan sudah mula longgar.
"Orang mula berfikir iaitu mahukan pilih kerajaan yang dapat memberikan perkhidmatan," katanya.
Dakwa Khalid, terdapat juga kawasan tertentu yang dikesan ada timbul rungutan termasuk dalam kalangan penyokong PAS sendiri dan membayangkan mereka mahukan perubahan.
"Walaupun mereka tak keluar PAS tetapi mereka masih nakkan perubahan, jadi susah untuk kita nak ramal dan jadikan keputusan PRU ke-15 atau PRU ke-14 sebagai kayu pengukur.
"Maksudnya 'tembok' itu sudah betul-betul dapat dipecahkan," kata Khalid.
