Gaji ktangan kjaan naik sehingga 35 peratus
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan kenaikan gaji bagi 1.02 juta kakitangan awam sehingga 35 peratus berkuatkuasa 1 Julai ini. Kerajaan juga menaikkan kadar bantuan sara hidup atau COLA sebanyak 100 peratus.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan kenaikan gaji bagi 1.02 juta kakitangan awam sehingga 35 peratus berkuatkuasa 1 Julai ini. Kerajaan juga menaikkan kadar bantuan sara hidup atau COLA sebanyak 100 peratus.
Gaji pokok Kumpulan Sokongan 2 (iaitu Gred 1 hingga 16) dinaikkan 35 peratus, Kumpulan Sokongan 1 (iaitu dari Gred 17 hingga 40), dinaikkan 25 peratus, Kumpulan Pengurusan dan Profesional, dinaikkan 15 peratus, dan Kumpulan Pengurusan Tertinggi, dinaikkan 7.5 peratus.
Menurut laporan Bernama, kerajaan juga memutuskan untuk memberi kenaikan tambahan kepada Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia sebanyak 20 peratus di atas peratusan kenaikan gaji untuk semua anggota sektor awam yang diumumkan hari ini.
Pengumuman Perdana Menteri itu di perhimpunan Hari Pekerja sector awam 2007 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, disambut tepukan gemuruh, dan di akhir ucapannya, Abdullah diberi penghormatan sambil berdiri oleh mereka yang hadir yang melaungkan "Hidup Pak Lah".
Beliau berkata secara keseluruhannya, kenaikan gaji ini berjumlah RM3.4 bilion bagi tahun ini, ataupun, perbelanjaan tambahan sebanyak RM6.8 bilion setahun, manakala peningkatan kadar Cola melibatkan perbelanjaan tambahan RM600 juta bagi tahun ini atau RM1.2 bilion setahun.
Abdullah berkata faktor pertama yang diambil kira dalam membuat pertimbangan kenaikan gaji sektor awam adalah pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang baik dalam tempoh lima tahun yang lalu iaitu purata 5.6 peratus setahun.
Pertumbuhan ini, kata Abdullah, didorong oleh pertumbuhan pelaburan swasta serta imbangan dagangan melebihi RM1 trilion.
Kadar inflasi
"Pertumbuhan ini telah memungkinkan keadaan di mana kadar faedah, kadar inflasi dan kadar pengangguran kekal rendah. Indeks Komposit Bursa Malaysia juga membayangkan kepesatan ekonomi negara dengan mencapai tahap paling tinggi baru-baru ini," katanya.
Perdana Menteri berkata faktor kedua adalah keperluan untuk menarik serta mengekalkan modal insan yang berkelayakan, berprestasi tinggi dan bermotivasi dalam sektor awam.
Faktor ketiga ialah kenaikan kos sara hidup akibat kenaikan harga minyak dunia yang memberi kesan besar kepada kumpulan berpendapatan rendah.
Faktor keempat, kata Perdana Menteri, adalah kemampuan kewangan kerajaan di mana pengutipan cukai negara telah bertambah dengan ketara manakala keberkesanan perbelanjaan telah dapat ditingkatkan.`
"Dalam memutuskan kenaikan gaji, kerajaan sentiasa berjaga-jaga akan kesannya kepada kewangan negara. Sebarang kenaikan gaji akan juga melibatkan pengiraan pencen serta elaun-elaun tertentu.
"Dengan itu, kuantum kenaikan telah diputuskan secara cermat dan berhemat. Kerajaan telah berjaya mengurangkan defisit perbelanjaan kerajaan daripada 5.3 peratus dalam tahun 2003 kepada 3.5 peratus tahun lalu dan pengurusan fiskal berhemat ini akan diteruskan," katanya.
Cuepacs puashati
Sementara itu, Bernama turut melaporkan Cuepacs amat berpuas hati dengan kenaikan gaji kakitangan awam sehingga 35 peratus yang diumumkan oleh Perdana Menteri hari ini kerana ia memenuhi harapan dan sasarannya.
Presiden Cuepacs Omar Osman berkata, Cuepacs juga gembira kerana kerajaan turut menaikkan kadar elaun bantuan sara hidup (COLA) sebanyak 100 peratus.
"Kita berpuas hati, kita rasa paling gembira atas apa yang diumumkan oleh PM.
"Memang satu pengumuman sejarah bagi kita, yang terbaik. Dulu kita minta, kadang-kadang jauh lari daripada apa yang kita harapkan.
"Kita minta 40 peratus bagi Kumpulan Sokongan 1, sekarang ini (dapat) 35 peratus bagi kumpulan tersebut," katanya kepada pemberita selepas pengumuman tersebut.
Dalam satu memorandum kepada Perdana Menteri sebelum ini, Cuepacs menuntut
kerajaan membuat semakan gaji dengan kenaikan 10 hingga 40 peratus, bergantung kepada gred dan gaji kakitangan awam. Kali terakhir kerajaan membuat semakan gaji ialah pada 1992.
Omar menggesa kakitangan awam membuat perubahan secara drastik dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan matlamat untuk meningkatkan produktiviti ke arah yang terbaik.
Katanya, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah meminta Cuepacs memainkan peranan agar pekerja dapat mengubah sikap dan meningkatkan disiplin, moral dan imej dalam perkhidmatan mereka.

